'Badan tauke terbakar, dia terjun laut sebelum hilang dihanyut ombak' - Utusan Malaysia

‘Badan tauke terbakar, dia terjun laut sebelum hilang dihanyut ombak’

MOHD. Hariz Ahmad Radzi menunjukkan lengan kanannya yang melecur dalam kejadian bot terbakar di perairan Kerian semalam. - UTUSAN/WAT KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR: ‘Saya hanya mampu lihat tauke berguling-guling di atas bot akibat badannya terbakar terkena api sebelum dia terjun laut dan hilang dihanyut ombak’.

Itu detik cemas yang diceritakan oleh Mohd. Hariz Ahmad Radzi, 26, awak-awak yang terselamat dalam kejadian bot terbakar berhampiran perairan Tanjung Piandang di sini awal pagi semalam.

Menurut Mohd. Hariz, kejadian berlaku kira-kira pukul 2.30 pagi ketika dia bersama majikannya dan seorang lagi awak-awak sedang menarik pelampung di laut.

Menurutnya, ketika itu, majikannya cuba menghidupkan enjin bot, tetapi tidak berjaya.

Katanya, lalu dia memeriksa bahagian enjin dan ketika itu majikannya mencabut paip minyak dan cuba menuang minyak terus ke dalam karburetor untuk menghidupkan enjin.

“Sebaik sahaja enjin cuba dihidupkan, berlaku letupan kuat yang mengakibatkan bot disambar api. Ketika itu kami semua cuba lari tapi majikan cuba mengalihkan tong minyak simpanan dan api terus menyambar tong tersebut yang akhirnya menyambar badannya.

“Badannya terbakar teruk. Dia terjun ke laut, saya nampak dia tenggelam timbul dalam laut tapi lepas itu terus hilang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurutnya, dia bersama seorang lagi awak-awak cuba menyelamatkan diri ke bahagian hadapan bot kerana tidak tahan bahang panas, sebelum kedua-dua mereka turut terjun laut.

Katanya, pada waktu itu laut sangat beralun dan mereka dihanyutkan jauh dari bot tapi sempat memegang lampu suluh untuk digunakan bagi memberi isyarat kepada nelayan berhampiran.

“Kami berpaut pada objek terapung selama kira-kira 15 hingga 20 minit sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan tempatan,” katanya.

Sementara itu, lelaki yang hilang selepas terjun laut dari bot yang terbakar semalam, ditemukan terapung kira-kira dua batu nautika dari lokasi kejadian hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Hairil Othman berkata, penemuan mayat itu hasil pencarian hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung pagi ini.

Menurut beliau, mayat mangsa ditemukan pada pukul 7.50 pagi oleh nelayan tempatan yang turut serta dalam operasi pencarian.

“Mayat ditemui kira-kira dua batu nautika dari lokasi kejadian dan dipercayai merupakan lokasi mangsa terjatuh ke laut semalam,” katanya di sini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN