PETALING JAYA: Ketibaan empat karya seni bernilai tinggi membabitkan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke negara ini berjalan lancar apabila kesemuanya selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 10 April lalu.
Utusan Malaysia dimaklumkan, karya seni berkenaan telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK), Amerika Syarikat pada 8 April, sebelum tiba di KLIA pada pukul 12.21 tengah hari dua hari kemudian.
SPRM memaklumkan kepada Utusan Malaysia, setibanya di negara ini, urusan pengendalian dan penghantaran telah diuruskan oleh syarikat pemindahan karya seni itu.
Katanya, karya seni tersebut telah memperoleh pelepasan sepenuhnya selepas melalui pemeriksaan pihak Kastam, termasuk proses pelepasan barangan dan cukai.
Karya seni itu kemudiannya dibawa keluar dari Zon pada 13 April lalu.
“Karya seni itu kemudiannya dibawa keluar dari Zon Perdagangan Bebas Kargo (FCZ) KLIA pada pukul 3 petang sebelum selamat tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya,” katanya di sini hari ini.
Katanya, keseluruhan proses pemindahan dilaksanakan mengikut prosedur ditetapkan bagi memastikan keselamatan serta keadaan karya seni tersebut terpelihara.
“Urusan pemunggahan serta penghantaran ke lokasi penyimpanan dilaporkan selesai sepenuhnya pada pukul 3.40 petang,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan empat daripada 12 lukisan bernilai tinggi hasil karya pelukis tersohor dunia yang dikaitkan dengan skandal 1MDB dianggarkan bernilai lebih RM140 juta (AS$30 juta) telah tiba di negara ini.
Lukisan berkenaan yang sebelum ini transit di beberapa negara termasuk Hong Kong kini berada dalam pegangan SPRM.
Pada 9 April lalu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin memaklumkan lukisan berkenaan telah melalui beberapa negara sebelum tiba di Hong Kong.
Karya seni itu perlu melalui beberapa proses transit antarabangsa.
Pada 5 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan waktu sebenar ketibaan empat daripada 12 lukisan itu tidak dapat didedahkan secara terperinci atas faktor keselamatan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata,langkah itu diambil bagi memastikan keselamatan karya seni berkenaan terjamin memandangkan ia mempunyai nilai tinggi serta menjadi sebahagian daripada aset berkaitan siasatan.
Butiran terperinci termasuk waktu ketibaan tidak boleh didedahkan bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan.
Pada 13 Disember 2025, usaha pemulihan aset 1MDB terus diperkukuh apabila Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ) bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta kepada Malaysia.
Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi SPRM bersama Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan USDOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember 2025. – UTUSAN










