KUALA LUMPUR: Aspek penguatkuasaan dan pendakwaan terhadap individu atau syarikat yang mengambil kesempatan memperdaya bakal jemaah haji diperkukuh dengan penubuhan pasukan petugas khas (task force).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, ia akan menyelaras tindakan antara agensi berkaitan memandangkan di bawah Akta Tabung Haji 1995, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mempunyai kuasa pendakwaan.
Katanya, pasukan itu melibatkan kerjasama antara TH, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC)
“Sebelum ini TH hanya boleh menerima aduan dan menyerahkan kepada polis untuk siasatan sebelum tindakan undang-undang diambil,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1447H/2025M di sini, hari ini.
Mohd. Na’im berkata, kerjasama rentas agensi penting bagi memastikan siasatan menyeluruh dapat dijalankan ke atas mana-mana pihak yang menawarkan kursus atau visa haji palsu, sekali gus membawa pesalah ke muka pengadilan.
“Penguatkuasaan dan pendakwaan adalah kunci utama untuk mengekang kes seperti ini. Jika ada pendakwaan dan hukuman yang berat, ia boleh jadi peringatan jelas kepada semua pihak supaya tidak mengambil kesempatan ke atas urusan ibadah suci ini,” katanya.
Katanya, jika Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen didapati terlibat, TH tidak teragak-agak menarik lesen mereka.
Beliau berkata, bagi kes umrah, MOTAC mempunyai kuasa menggantung atau membatalkan lesen syarikat pelancongan yang melanggar undang-undang.
“Bagi kes tidak berlesen, kita perlu bergantung kepada PDRM dan pihak pendakwaan. Kekuatan task force ini adalah pada penyelarasan tindakan antara TH, PDRM dan MOTAC,” katanya.
Mohd. Na’im berkata, kes penipuan haji kian menurun hasil penguatkuasaan ketat dijalankan tahun ini, termasuk pemeriksaan ke rumah dan hotel untuk mengesan mereka yang cuba berangkat tanpa visa haji sah. – UTUSAN









