KLANG: Aktiviti pembuangan menggunakan lori secara one off dipercayai punca menyebabkan air Sungai Kapar Kechil berdekatan Kampung Perepat di sini, bertukar menjadi kebiruan hari ini.
Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, pasukan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melakukan pemeriksaan di lokasi itu antara pukul 2.30 hingga 4.30 petang tadi dan mendapati warna air sungai itu sedikit kebiruan.
“Namun, siasatan dan semakan di bahagian hulu sungai tidak menemukan sebarang punca pencemaran. Berdasarkan pemerhatian dan maklumat pengadu, kejadian disyaki berpunca daripada kegiatan pembuangan menggunakan lori,” katanya malam ini.
Tambah Jamaliah, LUAS melakukan pensampelan air dan menyerahkannya kepada Jabatan Kimia bagi analisis lanjut.
“Pemantauan susulan akan terus dijalankan dari semasa ke semasa di lokasi itu bagi memastikan tiada kejadian berulang.
“Orang ramai diminta sentiasa peka dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan atau insiden pencemaran sumber air kepada pihak berkuasa dengan segera,” ujarnya.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Noor Najhan Mohamad Salleh memaklumkan pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kampung Perepat mengenai air tercemar di sepanjang sungai tersebut.
Beliau kemudian segera melaporkan kepada agensi bertanggungjawab dan berharap tindakan tegas dapat diambil kepada pelaku. – UTUSAN