KANGAR: Pas perlu sedia menerima dan menghormati sebarang keputusan peralihan kuasa kepimpinan parti sekiranya Tan Sri Abdul Hadi Awang mengambil untuk berundur daripada jawatan Presiden atas faktor kesihatan.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, namun setakat ini Abdul Hadi tidak pernah memaklumkan kepada beliau untuk berundur sebaliknya perbualan mereka pada bulan lalu hanya berkaitan tahap kesihatannya.
“Saya tidak dengar sendiri, tidak ada dia cakap depan saya untuk berundur. Cuma bulan lepas dia (Abdul Hadi) ada telefon sembang mengenai sakit dia saja yang dalam keadaan dia sekarang kena pimpin untuk jalan bawa ke dalam majlis, dia sendiri cerita pada saya.
“Jadi yang pentingnya, orang Pas secara keseluruhannya masih perlu kepada kepimpinannya (Abdul Hadi) walaupun dalam keadaan fizikal dia itu kalau kita lihat nampak sangat uzur. Dua hari masuk wad, dua hari keluar, doktor pun tak putus asa nak ikhtiar lagi.
“Di sini, saya rasa pandangan ahli-ahli kita ini yang pertamanya ada yang rasa dia perlu teruskan (tugas sebagai presiden). Kedua, ada yang merasakan dia perlu rehat memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan untuk terus kerja berat lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, media melaporkan, Abdul Hadi dikatakan memberi bayangan untuk berundur daripada jawatan tersebut atas faktor kesihatan kepada barisan kepimpinan tertinggi dalam satu retreat parti yang diadakan di Terengganu baru-baru ini.
Abdul Hadi mengetuai Pas sejak 2003 selepas menggantikan Allahyarham Datuk Fadzil Noor dan memimpin parti itu sehingga kini.
Hashim berkata, Pas masih memerlukan kepemimpinan Abdul Hadi namun terpulang kepada sejauh mana kesediaan beliau untuk terus mengemudi parti.
Katanya, kalau dilihat daripada semangat dan fikrah Abdul Hadi tidak ada beza ketika beliau sihat dan disebabkan itu, ahli-ahli masih perlukan kepemimpinannya mengetuai parti.
“Macam mana pun kita kena buat pertimbangan sewajarnya iaitu kita tidak suruh dia berhenti, tapi kalau dia nak berhenti kerana keuzuran, saya rasa mungkin kita tidak daya nak larang untuk dia berhenti. Terpulang pada tuan tubuhlah sejauh mana dia bersedia.
“Sebab itu, nak paksa dia berhenti tidak boleh, nak suruh dia terus pun tidak boleh dengan keadaan dia. Jadi memanglah, ikhtiar berubat itu macam-macam, Institut Jantung Negara (IJN) itu macam rumah dia pula dan banyak orang yang tolong. Dia bukan saja dialisis, cuci darah dan sebagainya dan kalau saya memang dah tak bergerak dah, tapi dia masih boleh lagi dan masyarakat juga masih perlukannya.
“Kalau tak boleh guna tenaga dia, pemikiran dia yang masih diperlukan. Kita bukan macam UMNO, kawan ini bakal Perdana Menteri, yang itulah. Selagi mana kita rasa perlu khidmat dia, dan selagi dia sedia, maka kita terimalah,” katanya.-UTUSAN











