KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyita sebanyak 15,000 pasang kasut dan selipar tiruan dianggarkan bernilai RM400,000 dalam serbuan di sebuah kompleks pemborong di Jalan Tuanku Abdul Rahman di sini, kelmarin.
Pengarah KPDN Kuala Lumpur, Mohd. Sabri Seman berkata, kesemua barang tiruan itu disimpan dalam lapan buah stor serta dua premis dijadikan ‘showroom’ dipercayai milik warga tempatan.
Katanya, sindiket itu dipercayai mula beroperasi di ibu negara sejak dua bulan lalu namun sering berpindah di sekitar Lembah Klang bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa.
“Hasil risikan selama dua minggu berjaya mengenalpasti rangkaian sindiket berkenaan.
“Pasukan serbuan berjaya menyita 14,300 pasang selipar dan kasut tiruan berjenama dengan anggaran nilai RM400,000,” katanya dalam sidang akhbar di Stor Eksibit KPDN di sini, hari ini.
Mohd. Sabri berkata, kebanyakan barangan tiruan itu dipercayai diperoleh dari China dan dibawa melalui laut.
Jelas beliau, siasatan mendapati sindiket berkenaan membawa masuk produk tiruan dengan modal RM4 bagi setiap selipar dan RM20 bagi kasut.
“Mereka kemudian menjual semula dengan harga berlipat kali ganda iaitu RM40 hingga RM50 sepasang, manakala kasut pula dijual pada harga antara RM100 hingga RM120.
“Kita percaya ‘showroom’ yang diserbu itu berfungsi sebagai pusat pameran rahsia untuk pemborong memperkenalkan pelbagai model barangan kepada peniaga.
“Kita tidak menolak kemungkinan barangan ini turut dijual dalam talian oleh peniaga pihak ketiga,” katanya.
Beliau berkata, dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan yang juga pekerja premis disyaki berperanan sebagai pengurus, ditahan untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, siasatan turut dilakukan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLATFPUAA 2001) kerana nilai rampasan yang besar dan mempunyai jaringan sindiket yang luas.
Ujar beliau, kejayaan rampasan itu turut membabitkan kerjasama wakil-wakil cap dagangan yang berdaftar dan beberapa badan antarabangsa yang berkongsi maklumat risikan.
“Kita menyeru orang ramai untuk tidak menyokong penjualan dan pembelian barangan tiruan kerana tindakan itu secara tidak langsung membantu sindiket menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang.
“Kepada peniaga, kita beri amaran keras supaya hentikan segera kegiatan menjual barangan palsu. Kita sudah ada maklumat dan akan bertindak sebaik maklumat lengkap,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 64 kes berkaitan harta intelek direkodkan bagi tahun ini membabitkan nilai sitaan lebih RM1.5 juta.
Untuk sebarang aduan berkaitan barangan tiruan, orang ramai boleh melaporkannya kepada KPDN melalui portal e-aduan, talian hotline 1-800-886-800, aplikasi Ez Adu atau WhatsApp 019-279 4317. – UTUSAN










