SHAH ALAM: Suasana penuh syukur dan ukhuwah terpancar dalam Majlis Rumah Terbuka anjuran Wira Saujana Travel & Tours yang berlangsung meriah hari ini.
Majlis itu menghimpunkan lebih 3,000 jemaah dari seluruh negeri yang pernah menyertai ibadah suci bersama syarikat berkenaan termasuk 400 jemaah yang akan berangkat ke tanah suci tidak lama lagi.
Pengarah Urusan Wira Saujana, Sharifah Zabidah Syed Mohamad dalam ucapannya menzahirkan rasa terharu atas sambutan luar biasa yang diterima daripada para jemaah.
“Saya gembira melihat kehadiran para jemaah yang datang dari pelbagai negeri.
“Inilah himpunan yang bukan sekadar jasad, tetapi mengukuhkan lagi tali persaudaraan sesama kita yang pernah menunaikan umrah dan haji bersama,” katanya.
Menurut Sharifah Zabidah, majlis itu merupakan platform untuk mengeratkan hubungan dalam kalangan jemaah, selain sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang sentiasa menyokong Wira Saujana.
“Kalau bukan kerana sambutan para jemaah, majlis semeriah ini tidak mungkin menjadi kenyataan. Terima kasih yang tak terhingga atas sokongan yang diberikan,” katanya lagi.
Turut hadir, Pengurus Pemasaran Wira Saujana, Muhammad Kusyairi Mokhtar, yang turut berkongsi perkembangan semasa berkenaan permohonan dan pakej haji serta umrah yang ditawarkan syarikat.
“Tahun ini, kami menerima lebih 2,000 permohonan untuk menunaikan haji. Namun, kuota yang diberikan oleh Tabung Haji adalah sekitar 450 hingga 540 orang sahaja,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Tambah beliau, harga pakej haji bermula dari RM47,970 manakala pakej umrah pula bermula daripada RM6,700, lengkap dengan penginapan hotel bertaraf lima bintang di Mekah dan Madinah.
“Majlis hari ini juga bertujuan mempertemukan semula jemaah yang pernah bersama di tanah suci, yang kini mungkin berada jauh di negeri masing-masing. Alhamdulillah, kita berjaya himpunkan mereka semua,” ujarnya.
Majlis turut diisi dengan jamuan, sesi bergambar kenangan serta ucapan daripada beberapa jemaah, menjadikan pertemuan itu penuh makna dan emosi. – UTUSAN










