GEORGE TOWN : Wanita PKR Pulau Pinang hari ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap cadangan untuk melihat Naib Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.
Ketuanya, Nurhidayah Che Rose berkata, sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang, Nurul Izzah telah menunjukkan kepimpinan yang berwibawa dan komitmen yang tinggi dalam memperjuangkan prinsip keadilan sosial, hak asasi manusia, dan reformasi institusi.
Nurhidayah berkata, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh yang sinonim dengan gelaran Puteri Reformasi itu juga konsisten dalam memperjuangkan hak wanita, kebebasan bersuara, keadilan sosial serta menuntut pendidikan berkualiti untuk semua rakyat.
“Pada masa yang sama, beliau (Nurul Izzah) juga tegas dalam memperjuangkan ekonomi rakyat dan politik berintegriti dengan menolak sebarang bentuk korupsi,” katanya di sini, hari ini.
Nurul Izzah sebelum ini dikatakan telah bersedia untuk mempertahankan jawatan Naib Presiden parti itu pada sesi pemilihan yang akan berlangsung 24 Mei ini.
Mengulas lanjut, Nurhidayah berkata, prinsip perjuangan yang dibawa oleh Nurul Izzah selari dengan konsep Malaysia Madani yang diterapkan dalam pentadbiran Perdana Menteri, yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Nurul Izzah bukan sahaja penting dalam memperkasakan suara Keadilan (PKR) di peringkat nasional, malah, turut membawa peranan besar di peringkat antarabangsa.
“Justeru, Wanita Keadilan Pulau Pinang percaya bahawa kepimpinan Nurul Izzah akan terus membawa parti ini ke arah Malaysia yang lebih adil dan progresif. Kami juga berdiri teguh bersama beliau dalam usaha memperkukuh parti menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16),” katanya.-UTUSAN