SYDNEY: Aplikasi Snapchat mula meminta remaja Australia mengesahkan umur mereka, beberapa minggu sebelum kerajaan Canberra melaksanakan undang-undang baru yang melarang individu di bawah 16 tahun menggunakan media sosial.
Mulai 10 Disember, Australia akan memaksa semua platform media sosial, termasuk Facebook, Instagram dan TikTok, menutup akaun pengguna di bawah umur 16 tahun atau berdepan denda yang tinggi.
Snapchat berkata, pengguna akan diminta mengesahkan umur mereka menggunakan akaun bank Australia, kad pengenalan dikeluarkan kerajaan, atau dengan mengambil gambar muka yang akan dianalisis pihak ketiga untuk menentukan julat umur.
Semua akaun pengguna di bawah umur 16 tahun akan dikunci selepas tarikh itu.
Snapchat menasihatkan remaja untuk memuat turun data mereka secepat mungkin kerana ia mungkin sukar dilakukan apabila larangan berkuat kuasa.
Syarikat itu juga menyatakan tidak bersetuju dengan larangan kerajaan, tetapi akan mematuhinya seperti mana mereka mematuhi undang-undang tempatan di negara lain.
Jurucakap Snapchat memberi amaran memutuskan hubungan remaja daripada rakan dan keluarga tidak semestinya menjadikan mereka lebih selamat, malah mungkin mendorong mereka menggunakan aplikasi pesanan yang kurang selamat dan kurang privasi.
Setakat ini, 10 platform termasuk Discord, WhatsApp, Lego Play dan Pinterest tidak termasuk dalam senarai larangan kerajaan Australia.
Pihak berkuasa Australia menegaskan mereka berhak mengemas kini senarai platform yang dilarang sekiranya perlu. Tindakan ini menarik perhatian antarabangsa, termasuk di New Zealand, di mana Perdana Menteri Christopher Luxon bercadang memperkenalkan rang undang-undang serupa untuk mengehadkan penggunaan media sosial oleh kanak-kanak.










