YANGON: Tentera Myanmar menahan hampir 1,600 warga asing dalam tempoh lima hari menerusi satu operasi serbuan besar-besaran di sebuah pusat penipuan internet terkenal di sempadan Thailand.
Junta Myanmar sekian lama dituduh membiarkan industri haram itu berleluasa, namun sejak Februari ia mula menghebahkan tindakan keras selepas menerima tekanan daripada penyokong ketenteraannya, China, menurut para penganalisis.
Dalam jumlah terbaharu yang diumumkan semalam, junta berkata, 1,590 warga asing yang memasuki Myanmar secara haram ditahan dari 18 hingga 22 November dalam operasi di pusat perjudian dan penipuan Shwe Kokko.
Menurut laporan media kerajaan The Global New Light of Myanmar, pihak berkuasa merampas 2,893 komputer, 21,750 telefon bimbit, 101 penerima satelit Starlink, 21 router serta sejumlah besar peralatan industri yang digunakan dalam penipuan dan perjudian dalam talian.
Laporan ini muncul selepas siasatan AFP bulan lalu mendedahkan penerima satelit internet Starlink dipasang secara besar-besaran di pusat-pusat penipuan tersebut.
Syarikat milik jutawan, Elon Musk itu kemudian memaklumkan menyahaktifkan lebih 2,500 peranti Starlink berhampiran pusat penipuan di Myanmar.
Rakaman video yang diterbitkan media tempatan menunjukkan sebuah jentera penggelek memusnahkan ratusan monitor komputer yang disusun berbaris di sebelah timbunan telefon bimbit yang dihancurkan di kawasan Shwe Kokko pada Sabtu.
Sejak rampasan kuasa 2021 mencetuskan perang saudara, pusat penipuan yang menggaji ribuan pekerja termasuk mereka yang diperdagangkan dari luar negara semakin berleluasa di kawasan sempadan Myanmar yang kurang kawalan.
Walaupun China merupakan penyokong ketenteraan utama junta, analisis menunjukkan Beijing semakin berang dengan penipuan yang menyasarkan dan merekrut rakyatnya.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), mangsa penipuan di Asia Tenggara dan Timur kehilangan sehingga AS$37 bilion (RM153 bilion) pada 2023 dengan kerugian global dipercayai jauh lebih besar.-AFP
NO PIX










