WASHINGTON: Seorang penduduk Washington meninggal dunia selepas dijangkiti strain selesema burung yang jarang berlaku dan sebelum ini hanya ditemui pada haiwan, menurut pihak berkuasa kesihatan negeri.
Kes tersebut merupakan kematian manusia kedua berkaitan virus itu di Amerika Syarikat (AS) pada tahun ini.
Jabatan Kesihatan Washington memaklumkan, mangsa merupakan seorang warga emas dengan masalah kesihatan sedia ada dan dirawat di hospital sejak awal bulan ini.
Ujian oleh Universiti Washington mengesahkan mangsa dijangkiti virus influenza avian H5N5.
Dalam kenyataannya, jabatan itu menyatakan ia merupakan kes pertama jangkitan varian berkenaan pada manusia di seluruh dunia.
Penemuan tersebut turut disahkan oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC).
Menurut jabatan itu, risiko kepada orang awam kekal rendah kerana tiada individu lain yang terbabit dalam kes ini didapati positif. Setakat ini, tiada bukti menunjukkan virus tersebut menular dari manusia ke manusia.
Pegawai kesihatan percaya mangsa terdedah kepada virus itu melalui kumpulan kecil burung peliharaan pelbagai jenis yang dibelanya di halaman rumah.
CDC setakat ini merekodkan lebih 70 kes selesema burung melibatkan manusia sepanjang tahun ini. Pada Januari lalu, seorang individu di Louisiana meninggal dunia selepas dijangkiti strain H5N1.
Sejak 2003, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan lebih 1,000 kes selesema burung dalam kalangan manusia di 25 negara, merangkumi pelbagai strain virus tersebut.-AFP










