PARIS: Ribuan penunjuk perasaan di seluruh Perancis meredah cuaca sejuk bagi menyuarakan kemarahan terhadap keganasan berterusan terhadap wanita selain mendesak tindakan lebih tegas serta peruntukan dana lebih besar bagi menangani isu tersebut.
Menurut penganjur, lebih 50,000 peserta berhimpun di jalan-jalan utama di Paris membawa plakad, menyanyi dan berarak melalui pusat bandar dalam demonstrasi anjuran kolektif Greve Feministe yang menghimpunkan lebih 60 organisasi.
Antara plakad yang diedarkan kumpulan feminis NousToutes tertulis ‘Seorang lelaki membunuh seorang wanita setiap 2.5 hari di Perancis’ manakala satu lagi berbunyi ‘Sembilan daripada 10 mangsa mengenali perogol mereka’.
“Sudah 2025, adakah kita masih perlu menghitung jumlah wanita yang mati dibunuh?” ujar Presiden Persekutuan Mangsa Femisid Perancis, Sylvaine Grevin yang kehilangan adiknya dalam pembunuhan pada tahun 2017.
Di bandar-bandar lain, ratusan turut berhimpun, memenuhi jalan raya dengan mengenakan pakaian ungu, warna simbolik gerakan feminis.
Pertubuhan-pertubuhan penganjur menuntut kerajaan meluluskan satu undang-undang komprehensif menangani keganasan berasaskan jantina, selain menyediakan peruntukan berjumlah 3 bilion euro (RM14.34 bilion) untuk melaksanakannya.
Mereka turut menuntut pendidikan lebih menyeluruh dan dana tambahan bagi pertubuhan yang memberi sokongan kepada mangsa.
Menurut angka rasmi dikeluarkan Khamis lalu oleh MIPROF, agensi kerajaan yang memerangi keganasan terhadap wanita, kes pembunuhan wanita oleh pasangan atau bekas pasangan meningkat 11 peratus antara 2023 dan 2024, dengan 107 wanita terbunuh.
Data MIPROF turut menunjukkan seorang wanita menjadi mangsa rogol, cubaan rogol atau serangan seksual setiap dua minit, manakala setiap 23 saat berlaku gangguan seksual, pendedahan tidak senonoh atau penghantaran kandungan seksual tanpa diminta.
Sementara itu, Yayasan Wanita Perancis menganggarkan kerajaan sepatutnya memperuntukkan sekurang-kurangnya 2.6 bilion euro (RM 12.43 bilion) setahun bersamaan 0.5 peratus daripada belanjawan negara bagi melindungi mangsa keganasan domestik, seksual dan berasaskan jantina. -AFP










