Tidak timbul soal nepotisme - Fahmi

Tidak timbul soal nepotisme – Fahmi

NURUL IZZAH ANWAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa tidak timbul soal nepotisme berhubung pencalonan dan sokongan terhadap Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti kali ini.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ini kerana Nurul Izzah sendiri ketika ini merupakan Naib Presiden PKR.

“Tak pernah (kerana) Nurul Izzah sekarang adalah Naib Presiden (PKR). Sekarang pun dia menjawat jawatan itu, jadi tak timbul apa-apa perkara (berhubung nepotisme),” katanya menerusi sidang akhbar mingguan di sini hari ini.

Perang melobi wakil PKR untuk diangkat sebagai Timbalan Presiden telah bermula dengan Nurul Izzah dilihat berada di depan, berbanding seorang lagi pemimpin iaitu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang disebut-sebut sebagai pencabar kepada penyandang jawatan itu, Datuk Seri Rafizi Ramli. 

Pencalonan pemilihan peringkat pusat akan berlangsung bermula esok dan Jumaat.

Mengulas lanjut, Ketua Cabang Lembah Pantai itu berkata, PKR adalah sebuah parti yang meraikan demokrasi, justeru, pemilihan pemimpin bagi penggal 2025-2028 diserahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk membuat pilihan mereka.

“Saya sendiri ada keluarkan kenyataan jadi boleh rujuk Facebook saya yang bersama dengan ketua-ketua cabang Wilayah Persekutuan. 

“Tapi, Keadilan (ini) meraikan demokrasi dan kita serahkan kepada kebijaksanaan anggota untuk buat pilihan pemimpin-pemimpin yang mereka rasakan cocok dan sesuai dengan harapan, aspirasi dan juga apa yang mereka dambakan untuk penggal 2025-2028 ini,” ujarnya.

Terdahulu, menerusi hantaran di Facebook, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi bagi mengangkat Nurul Izzah untuk memikul tanggungjawab Timbalan Presiden bagi pemilihan sesi 2025-2028.

Fahmi berkata, PKR Wilayah Persekutuan mempunyai keyakinan teguh bahawa Nurul Izzah bakal menerima sokongan padu selaku figura utama yang akan memberi nafas baharu dalam menguatkan jentera parti dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) yang akan datang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN