SMK Taman Jasmin 2 cungkil potensi pelajar Bidang penyiaran

SMK Taman Jasmin 2 cungkil potensi pelajar dalam bidang penyiaran

MASSITA Mohammad Sin ditemu bual wartawan ahli TVPSS selepas majlis pelancaran TVPSS 'Jasmin On The Go' dan Program Nilam di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Jasmin 2, Kajang, Selangor. – UTUSAN/ MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Minat dan bakat dalam bidang kewartawanan serta media kreatif terus disemai dan dikembangkan dalam kalangan pelajar. Ini dibuktikan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jasmin 2, Kajang menerusi pelancaran Televisyen Pusat Sumber Sekolah (TVPSS), Jasmin On The Go, yang kini muncul sebagai platform utama mencungkil potensi generasi muda dalam dunia penyiaran sekolah.

Seorang peserta dan pemenang program TVPSS, Nur Elisa Shahrizal, mengakui penglibatannya dalam TVPSS selari dengan impiannya untuk bergelar wartawan suatu hari nanti.

“Saya memang minat jadi wartawan. Program ini sangat menyeronokkan sebab kita boleh kenal ramai orang. Bila orang tengok hasil kerja kita, saya rasa bangga sebab dapat harumkan nama sekolah,” katanya.

Pengetua SMK Taman Jasmin 2, Massita Mohamed Sin berkata, program tersebut memberi peluang kepada pelajar untuk memperkasa diri daripada aspek kreativiti, penulisan serta menjadi persediaan awal ke alam pengajian tinggi dan kerjaya.

 

“Aktiviti TVPSS memberi pendedahan kepada pelajar dalam bidang kewartawanan, penulisan dan penghasilan karya kreatif. Ilmu ini boleh dimanfaatkan ketika mereka melanjutkan pelajaran dan memasuki alam pekerjaan,” katanya selepas majlis pelancaran TVPSS dan program Nilai Murni Amalan Membaca (Nilam) yang disempurnakan oleh wakil Utusan Pelajar Laupa Junus.

 

Yang turut hadir Penolong Unit Sumber dan Teknologi Sumber, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Langat, Yusri Abd.Hamid; Pensyarah Kanan Akademik Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Dr. Shafa’atussara Silahudin, dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Norazlin Azemi.

Sementara itu, guru Bahasa Melayu, Nurul Fildza Fatihah Zainal berkata, kejayaan yang dicapai adalah hasil kerja berpasukan yang terancang dalam kalangan ahli.

“Kini, TVPSS mempunyai 41 orang pelajar daripada Tingkatan 3 hingga Tingkatan 5. Mereka dibahagikan kepada lima unit utama iaitu jurugambar, juruvideo, penulis skrip, penyunting artikel dan wartawan. Ini membentuk satu pasukan produksi yang berfungsi secara sistematik dan profesional,” katanya yang juga penyelaras program TVPSS bersama lima guru lain.

Program tersebut turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan apabila Pusat Sumber Sekolah (PSS) sekolah berkenaan menerima kit panduan dan penerangan program daripada kementerian berkenaan.

Selain itu, sesi latihan profesional bersama Bahagian Sektor Teknologi Pendidikan (BSTP) Selangor turut dirancang bagi memperkukuh keberkesanan pelaksanaan program. Menurut seorang lagi pelajar, Muhammad Zidan

Iskandar Tuah Iskandar, program berkenaan membantunya memperbaiki disiplin serta komitmen terhadap tugasan akademik.

“TVPSS Jasmin On The Go ini banyak mendisiplinkan pelajar. Apabila masuk program ini, saya jadi lebih komited untuk siapkan kerja rumah. Dalam masa yang sama, saya dapat tingkatkan markah Pentaksiran Jasmani Sukan dan Kokurikulum (PJSK), ” katanya. Dalam pada itu, SMK Taman Jasmin 2 telah mencipta sejarah apabila merangkul Anugerah Johan Pertandingan Video Kreatif TVPSS Jasmin On The Go peringkat Daerah Hulu Langat bagi dua tahun berturut-turut, iaitu tahun 2024 dan 2025.

Dengan pencapaian yang diraih, TVPSS SMK Taman Jasmin 2 terus membuktikan bahawa penggabungan teknologi, pendidikan dan kreativiti mampu melahirkan pelajar yang berdaya saing dalam dunia penyiaran dan komunikasi masa kini. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya