Setiap ibu ada ‘peperangannya’ sendiri - Utusan Malaysia

Setiap ibu ada ‘peperangannya’ sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“PERKARA yang paling bahagia dalam dunia ini, bukan sebab banyak harta dan dapat selalu bercuti ke luar negara bersama keluarga, tetapi jika diberi peluang sekali lagi dapat melihat dan mendengar suara ibu walaupun sekejap.”

Itu luahan kata-kata seorang kawan setelah ibunya meninggal dunia kerana menghidap kanser payudara dua tahun lalu.

Katanya, dia berasa kesal kerana sebelum ibunya meninggal dunia, dia tidak meluangkan banyak waktu untuk orang tuanya itu lebih-lebih lagi setelah dia sudah berkeluarga.

Dia mengaku, kerap kali dia bertangguh-tangguh jika ibunya menelefon, mengharapkan dia pulang ke kampung.

Bukan sebab dia tidak sayang, tetapi terleka dan tidak sedar, gesaan pulang itu sebenarnya adalah peluang yang Tuhan berikan untuk bersama ibu, sebelum ibunya dipanggil pulang kepada Pencipta-Nya.

“Bila ibu sudah tiada, semua yang tinggal hanya kenangan yang baik-baik. Yang saya rasa tidak puas hati itu ini dengan sikap ibu semasa dia hidup, serta merta hilang.

“Satu persatu kasih sayang ibu itu, Tuhan perlihatkan apabila terkenang arwah ibu. Ibu saya garang, masa kecil saya selalu kena pukul bila perangai saya tidak kena di matanya.

“Tetapi tiba-tiba sekarang ini, Tuhan imbaukan kenangan – waktu ibu saya masuk ke bilik saya diam-diam tanpa membuka lampu masa saya demam dan meletak tangannya ke dahi saya, panas atau sudah kebah dan macam-macam lagi kenangan yang baik-baik,” katanya.

Saya mendengar ceritanya dengan rasa seperti ada sesuatu tersekat di kerongkong saya. Mengiyakan kata-katanya dengan hanya mampu mengangguk.

Bagi yang sudah kehilangan ibu, pasti akan merasakan keperitan itu. Kerinduan yang membuatkan kita hilang butir bicara. Bukan kerana kita tidak reda akan pemergiannya, tetapi rindu itu terlalu berat.

Sebab itu, sementara masih boleh melihat dan mendengar suara seorang ibu, jangan dipersia-siakan masa yang Tuhan berikan itu. Nanti apabila sudah tiada, percayalah kita akan tercari-cari.

Hari ini hari ibu, walaupun bukan amalan orang dulu-dulu menyambut hari ibu, tetapi sejak beberapa tahun ini media sosial penuh dengan gambar bersama ibu, memeluk ibu, mencium tangannya dan menyambutnya dengan keluar makan dan sebagainya pada tarikh ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula, kali ini mengadakan sambutan hari ibu di Sabah, setelah menyambutnya di Melaka pada tahun lalu. Sentuhan Kasih Ibu menjadi tema sambutan peringkat kebangsaan pada kali ini dengan mengangkat nilai-nilai murni, seorang ibu dalam mendidik anak-anak.

Pada hari ini juga, pelbagai acara diadakan oleh kementerian dalam mengenang kasih sayang ibu.

Pun begitu, dalam melalui zaman yang mengejar materialistik dan menjadikan ramai bersikap individualistik, cabaran menjadi seorang ibu dan ujian menjadi seorang anak agak rumit.

Kini kita sudah biasa dengar seorang ibu tinggal berseorangan di rumah, selepas kematian suami. Tiada anak mahu mengambilnya tinggal bersama. Cukup dengan datang sekali sekala di rumah ibu. Sampaikan si ibu tertunggu-tunggu bila anak akan mengambilnya untuk tinggal bersama. Tiada anak yang menyuarakan pun untuk memelihara ibu hingga ke hujung nyawa.

Kita juga pernah mendengar seorang ibu ditinggalkan di tempat awam atau di hospital atau dihantar ke rumah orang tua.

Menurut Setiausaha Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin, selalunya kegembiraan ibu atau bapa yang diambil semula waris di pusat penjagaan itu tidak lama.

Ini kerana selalunya orang tua ini diambil bersebab atau ada niat tertentu seperti jika seorang bapa, menjadi wali di majlis perkahwinan, tandatangan borang atau dokumen dan sebagainya.

“Mereka ambil pun sekejap sahaja dan seminggu selepas itu, hantar ke hospital konon ibu bapa mereka sakit dan hantar ke pusat jagaan lain pula,” katanya dalam wawancara Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pusat penjagaan itu setiap hari menerima permohonan kemasukan dan secara anggaran terdapat antara 30 hingga 50 permohonan dalam tempoh sebulan.

Itu baru satu pusat penjagaan orang tua, kita ada banyak pusat penjagaan orang tua di negara ini yang tumbuh kerana faktor pengabaian anak terhadap ibu bapanya.

Yang lebih kejam, sudah ada banyak kes ibu yang dipukul dan dibunuh oleh anaknya sendiri. Ada yang tergamak menikam ibu dan ada yang membakar ibu.

Dan ada juga yang bergaduh dan menjaja aib si ibu di media sosial. Bagaikan tiada satu pun jasa atau kebaikan si ibu terhadapnya.

Melihat pada video dan gambar-gambar di Gaza, pasti kita akan tersentuh melihat wajah-wajah ibu yang bimbang melindungi anak-anaknya daripada dibedil peluru. Mereka tidak lari dalam medan perang meninggalkan anaknya untuk keselamatan diri sendiri.

Saya percaya setiap ibu ada dalam ‘peperangan’ itu – rela berbuat apa saja untuk anaknya, walaupun mengorbankan nyawa sendiri.

Seorang ibu akan berusaha memenuhi keperluan anaknya, akan merasa sedih apabila tidak mampu memberikan apa yang sepatutnya anaknya dapat. Akan hancur hatinya apabila melihat anaknya sakit atau berada dalam kesusahan. Ini adalah ‘peperangan’ dalam diri setiap ibu.

Ibu sepatutnya dihargai setiap masa. Bukan meraikannya di hari-hari tertentu. Hari ini membeli hadiah dan bergambar di media sosial hanya kerana trend. Esok lusa, ibu kembali dibiar sunyi dan panggilan telefon tidak berjawab.

Jangan biarkan ibu menangis kesepian di usia tuanya, sedangkan pada usia kecil si anak ketika menangis, ibulah orang pertama akan meredakan tangisan itu.

FAUZIAH AROF ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN