Polis Jerman guna semburan lada - Utusan Malaysia

Polis Jerman guna semburan lada

PENUNJUK perasaan bertempur dengan anggota polis di Erfurt, timur Jerman. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERLIN: Polis Jerman kelma­rin terpaksa melepaskan semburan lada dan menggunakan cota dalam satu pertempuran dengan aktivis haluan kiri di bandar Erfurt. Ia berlaku selepas penunjuk perasaan cuba menggagalkan persidangan parti pembangkang, Alternatif Untuk Jerman (AfD).

Parti berhaluan kanan itu memperjuangkan undang-undang imigresen yang le­bih ketat selain menentang sokongan Jerman terhadap Ukraine, termasuk pelaksa­naan sekatan ekonomi ke atas Russia.

Bercakap pada akhir bulan lalu, Naib Pengerusi Bersama AfD, Alice Weidel menggesa agar larangan import minyak dan gas dari Russia ditarik balik bagi membantu memulihkan semula ekonomi Jerman yang sedang merosot.

Ditubuhkan pada tahun 2013, parti itu menduduki tempat kedua dengan meraih 20 peratus undi dalam pilihan raya persekutuan pada Februari lalu, sekali gus memenangi 152 daripada 630 kerusi di Parlimen. 

Bagaimanapun, AfD disisihkan daripada rundingan gabungan dan pembentukan kerajaan sebagai sebahagian daripada polisi yang dikenali sebagai ‘tembok penghalang’ dalam landskap politik Jerman.

Menurut anggaran pihak polis, kira-kira 31,000 penunjuk perasaan telah membanjiri Erfurt pada Sabtu, manakala pihak penganjur pula mendakwa angka tersebut mencecah 50,000 orang.

Beberapa aktivis bertindak mendirikan sekatan jalan raya, manakala sebahagian lagi sanggup ‘melekatkan’ diri mereka pada landasan kereta api. Selain itu, ahli kumpulan anti-fasis turut cuba merempuh sekatan polis yang mengepung dewan pameran bandar, lokasi di mana persidangan AfD sedang berlangsung.

Beberapa perwakilan AfD berhaluan konservatif yang sedang merakam perhimpunan tersebut dilaporkan turut dipukul oleh kumpulan radikal haluan kiri itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN