BRUSSELS: Keputusan FIFA untuk membatalkan penggantungan penyerang Amerika Syarikat (AS), Folarin Balogun ‘tidak dapat difahami’, kata Menteri Luar Belgium, Maxime Prevot, beberapa jam sebelum perlawanan pusingan 16 terakhir Piala Dunia antara Belgium dan AS.
“Jika benar panggilan telefon menjadi sebab kepada keputusan yang tidak dapat difahami ini, ia merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap prinsip paling asas dalam bola sepak dan sukan.
“Perkara itu amat serius. Bagaimana FIFA masih boleh bercakap secara meyakinkan tentang semangat fair play,” kata menteri itu dalam satu kenyataan.
Perdana Menteri Belgium, Bart De Wever, tidak mengulas secara langsung, namun menyindir menerusi akaun Instagram rasmi kucing peliharaannya, Maximus.
“‘Kad merah? Saya tetap akan bermain!’ demikian kapsyen yang disertakan bersama gambar Maximus memegang kad merah berhampiran kakinya.
Apabila dihubungi AFP untuk bertanya sama ada perdana menteri sendiri mahu memberikan respons, pasukan komunikasinya merujuk kepada hantaran Instagram Maximus.
Balogun, yang telah menjaringkan tiga gol pada Piala Dunia kali ini, sebelum ini dijangka terlepas aksi di Seattle selepas dilayangkan kad merah secara terus berikutan semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana memijak kaki pertahanan Bosnia dan Herzegovina dalam perlawanan pusingan 32 terakhir yang dimenangi Amerika Syarikat 2-0.
Mengikut peraturan FIFA, kad merah secara terus secara automatik membawa kepada penggantungan satu perlawanan.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan telah menghubungi Presiden FIFA, Gianni Infantino, bagi memintanya meneliti semula hukuman terhadap Balogun, menurut dua sumber yang mengetahui perkara itu dan dipetik AFP. – AFP/UTUSAN










