KAHERAH: Pasukan ahli arkeologi Mesir berjaya menemukan siri makam berusia hampir 2,000 tahun di pesisir pantai Mediterranean dan runtuhan sebuah kota terancang dari zaman Byzantine di gurun barat, menurut kenyataan Kementerian Pelancongan dan Barangan Purba negara itu pada Sabtu.
Penemuan di kawasan pantai itu dibuat di Marina El-Alamein, kira-kira 100 kilometer ke barat Alexandria, di mana kerja-kerja penggalian terbaharu berjaya membongkar 18 buah makam dari zaman Yunani-Rom, kata kementerian itu dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beberapa kamar pengebumian ditemukan bersama kepingan batu penghalang asal yang masih berada di tempatnya. Sebuah penutup keranda batu granit berukuran kira-kira 2.5 meter ditemukan. Namun, penutup keranda itu masih utuh sekali gus menandakan kubur-kubur tersebut kekal kedap tanpa diganggu selama hampir 2,000 tahun.
Ahli-ahli arkeologi menemukan sisa-sisa rangka manusia bersama perkakas tembikar, tempayan dan barangan pengebumian yang lain di dalam makam-makan tersebut.
Antara penemuan yang paling mencuri tumpuan ialah 24 objek emas ditempatkan di dalam mulut beberapa mayat, iaitu satu amalan pengebumian purba yang dikaitkan dengan kepercayaan tentang kehidupan selepas kematian.
Tapak tersebut dipercayai sebahagian daripada kota purba Leukaspis, sebuah pelabuhan Mediterranean yang berkembang pesat antara zaman Hellenistik dan Byzantine.
Penemuan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan makam yang ditemukan di Marina El-Alamein meningkat kepada 44 buah sejak tapak itu mula dikenal pasti pada tahun 1986 ketika kerja-kerja pembinaan dijalankan.
Dalam perkembangan berasingan di Oasis Dakhla yang terletak di gurun barat Mesir, ahli arkeologi turut menemukan runtuhan penempatan zaman Byzantine di Ain al-Sabil yang dianggarkan bertarikh sekitar abad ke-4 Masihi.
Kota yang dibina daripada bata lumpur itu menampilkan sistem grid jalan raya yang terancang, dataran awam, bangunan kediaman, sebuah gereja berstruktur basilika dan kubu pertahanan, sekali gus menunjukkan wujudnya komuniti bandar yang teratur di kawasan pedalaman gurun.
Tapak berkenaan turut menghasilkan sekitar 200 serpihan tembikar bertulis dalam bahasa Koptik dan Yunani, selain syiling gangsa serta emas, termasuk beberapa contoh syiling yang dikaitkan dengan era pemerintahan Maharaja Rom, Constantius II (337-361 Masihi). – AGENSI










