SETIU: Kegembiraan lapan penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bermandi-manda di Lata Changkah di sini, berakhir tragedi selepas seorang daripada mereka ditemukan lemas, hari ini.
Kejadian kira–kira pukul 3.15 petang itu meragut nyawa Wan Ahmad Irfan Wan Abdullah Thani, 2,
manakala lima lagi nyaris maut namun bernasib baik dapat diselamatkan.
Seorang rakan mangsa, Muhammad Hady Izzudyn Ikmal Hisam, 23, berkata, sebelum kejadian dia dan enam daripada mereka mandi bersama manakala seorang lagi mandi di lokasi berbeza.
“Semasa kejadian, saya naik ke darat sekejap untuk minum air dan lihat enam lagi rakan termasuk Wan Ahmad Irfan masih mandi di bahagian tengah sungai sebelum secara tiba-tiba semua mereka kelihatan tenggelam dan timbul.
“Melihat keadaan itu,l saya segera terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan mereka dan berjaya menolak empat orang ke darat sebelum menyedari Wan Ahmad Irfan hilang. Seorang lagi rakan diselamatkan orang ramai,” katanya ketika ditemui di Lata Changkah hari ini.
Katanya, dipercayai Wan Ahmad Irfan dan lima lagi tidak pandai berenang dan baru beberapa kali datang ke lokasi itu.
Menurut Muhammad Hady Izzudyn, dia dan rakan-rakan datang ke kawasan tersebut untuk berkelah sempena cuti umum dan tidak menyangka ditimpa tragedi itu.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Setiu, Zuraidi Mohd Yusuf berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 3.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, mayat mangsa Wan Ahmad Irfan ditemukam terdampar di dasar sungai di kedalaman 4.5 meter melalui kaedah selaman yang dilakukan oleh anggota bomba.
“Lima rakan mangsa yang hampir lemas dihantar ke Hospital Setiu untuk menerima rawatan, manakala mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN