SEPANG: Polis mengesahkan mangsa yang dikhuatiri lemas berhampiran Klinik Desa Giching, di sini malam tadi adalah seorang anggota polis.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Baharom ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.
“Mangsa anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai,” katanya.
Katanya, kejadian berlaku kira-kira 10.20 malam tadi dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang dijalankan.
Berdasarkan maklumat dikongsi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mangsa dikenali Muhammad Rahimi Amirudin, 23.
Media sebelum ini melaporkan
seorang pemandu kereta dipercayai lemas selepas kenderaan Perodua Bezza yang dinaikinya terbabas dalam parit berhampiran Klinik Desa Giching, malam tadi.
Difahamkan, mangsa dipercayai cuba berenang keluar dari parit berkenaan selepas kenderaan dinaiki bersama tiga yang lain tidak dapat meneruskan perjalanan.
Operasi mencari dan menyelamat masih dilakukan membabitkan 10 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dengan bantuan Balai Bomba Sepang. – UTUSAN










