Otak Allahyarham Zafri bengkak, terpaksa tamatkan bantuan pernafasan

Otak Allahyarham Zafri bengkak, terpaksa tamatkan bantuan pernafasan

Allahyarham Muhammad Zafri (kanan)
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keluarga kanak-kanak lelaki autistik berusia 11 tahun yang dipercayai lemas ketika menjalani Program Sokongan Keyakinan Air pada 5 November lalu, terpaksa menamatkan bantuan pernafasan Allahyarham kerana keadaannya terlalu kritikal dan hanya bergantung dengan mesin berkenaan.

Ibunya, Nur Izati Mohd. Hairi dan bapa, Aman Shaiful Yatin, 39, terpaksa membuat keputusan itu meskipun sedih kerana kasihan melihat keadaan Muhammad Zafri.

“Otaknya juga tidak dapat memberi maklum balas dan membengkak. Itu yang saya dan suami setuju tamatkan bantuan pernafasannya.

“Kami juga sudah rancang mahu pindah ke rumah sendiri di Melaka pada awal tahun hadapan kerana suami akan bersara daripada perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hujung tahun ini tapi Muhammad Zafri yang ‘pindah’ dahulu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Zafri meninggal dunia pada pukul 2.30 petang kelmarin, selepas dua hari bertarung nyawa dipercayai lemas ketika menyertai aktiviti di kolam renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi di sini.

Muhammad Zafri yang juga murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sebuah sekolah rendah menyertai Program Sokongan Keyakinan Air pada 5 November lalu.

Nur Izati berkata, Allahyarham merupakan anak kedua daripada lima beradik dan mempunyai adik kembar, Muhammad Zakir.

Katanya, Muhammad Zafri mengikuti aktiviti renang di kolam berkenaan sejak darjah tiga dan ia kali pertama kejadian seumpama itu berlaku.

Menurutnya, pasangan kembar itu didiagnosis autisme ketika berusia setahun lebih dan pada hari kejadian, mereka mengikuti program yang turut disertai murid-murid lain, guru serta pembantu di kompleks sukan berkenaan.

“Saya hantar anak ke sekolah pagi itu dan mereka ke kompleks berkenaan dengan kenderaan guru. Namun kira-kira pukul 10.38 pagi, cikgu telefon saya sambil menangis sebut nama Muhammad Zafri dan minta saya ke kolam renang segera,” katanya.

Katanya, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke sekolah agama untuk mengambil seorang lagi anaknya.

“Saya segera ambil anak dan kemudian bergegas ke kompleks sukan berkenaan. Apabila sampai, saya lihat Muhammad Zafri sudah terbaring kaku, tidak sedarkan diri dengan badan serta muka yang sudah membiru.

“Jurulatih di kompleks berkenaan sudah memberikan bantuan pernafasan, namun nadinya sudah tiada membuatkan hati saya luluh, sebelum pasukan perubatan tiba di lokasi dan Muhammad Zafri dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN