Dua sahabat mati lemas ketika bermain di tali air - Utusan Malaysia

Dua sahabat mati lemas ketika bermain di tali air

PENDUDUK kampung membantu mencari dua mangsa kanak-kanak yang lemas di tali air Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, Perlis, petang tadi.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 11 tahun meninggal dunia dipercayai lemas ketika bermain di tali air Kampung Padang Besar Selatan, Kuala Perlis, di sini, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, menerusi siasatan awal, dua kanak-kanak itu pada awalnya sedang bermain permainan video bersama rakan lain di rumah.

Beliau berkata, kedua mangsa berkenaan kemudian mengajak rakan-rakannya itu untuk melepak di satu tempat yang tidak dinyatakan namun ajakan tersebut tidak dituruti mereka.

“Pada sebelah petang, apabila rakan mereka itu pergi ke padang untuk bermain bola, mereka dapati kedua mangsa berkenaan tidak sampai lalu telah berpatah balik semula. Mereka kemudian mendapati kedua mangsa itu sedang bermain di tali air berhampiran dengan padang itu,” katanya, di sini, hari ini.

Yusharifuddin berkata, salah seorang mangsa berusia 11 tahun yang sedang bermain itu dikatakan telah berenang ke tengah tali air berkenaan dan kemudian mula penat sehingga terpaksa mengapungkan diri.

Ujarnya, bagaimanapun, dalam beberapa saat sahaja, mangsa berkenaan kelihatan mula terkapai-kapai seakan seperti lemas.

“Selepas itu, seorang lagi mangsa yang berusia lapan tahun berada di tepi cuba berenang ke tengah untuk menyelamatkan sahabatnya itu. Kedua dua mangsa dikatakan kelihatan terkapai-kapai dan dipercayai telah tenggelam di dalam air, disyaki lemas,” katanya.

Dalam pada itu, Yusharifuddin berkata, rakan-rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba menghulurkan bantuan namun tidak berjaya berikutan kedalaman tali air tersebut dan melaporkan kejadian berkenaan kepada penduduk kampung berhampiran.

Katanya, kedua mangsa itu berjaya ditemukan hasil bantuan penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri dan di bawa ke Klinik Kesihatan Kuala Perlis bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa pertama telah disahkan meninggal dunia di Klinik kesihatan Kuala Perlis dan rakannya seorang lagi disahkan meninggalkan dunia di Zon Merah Hospital Tuanku Fauziah (HTF),” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN