Sempat hadir kelas tambahan, swafoto terakhir sebelum maut

Sempat hadir kelas tambahan, swafoto terakhir sebelum maut

MOHD. FADZLI Kadar menunjukkan gambar terakhir arwah anaknya (bertopi keledar) yang maut dalam kemalangan itu. - UTUSAN/ ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: “Arwah sempat menghantar gambar terakhir ketika kelas tambahan di sekolahnya sebelum tragedi itu.”

Demikian kata bapa kepada Allahyarham Muhammad Faris Mohd. Fadzli, 17, yang maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah lori di Jalan Parit Mahang, Jeram di sini, semalam.

Menurut Mohd. Fadzli Kadar, 46, anak sulung daripada dua beradik itu keluar dari rumah bagi mengikuti kelas tambahan subjek Sejarah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Bestari Jaya, kira-kira pukul 7.20 pagi.

Kata tukang gunting itu, pelajar Tingkatan Lima berkenaan terlebih dulu mengambil seorang rakan sekolahnya di Kampung Parit Mahang, Jeram.

“Sejurus tiba di sekolah, Faris ada menghantar gambarnya berswafoto tiba kepada keluarga menerusi kumpulan WhatsApp kami.

“Dia kemudian pulang seketika ke rumah kira-kira pukul 1.15 petang untuk meletakkan beg sebelum keluar menghantar rakannya. Tidak sangka ia gambar terakhir arwah yang meninggalkan kami buat selamanya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Batu 8 Ijok di sini, semalam.

Terdahulu, siasatan awal polis mendapati remaja yang menunggang dari arah bertentangan itu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar bahagian depan lori tersebut.

Perlanggaran itu mengakibatkan mangsa tercampak atas jalan dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di seluruh badan.

Kata Mohd. Fadzli, dia menerima khabar duka itu apabila dihubungi rakan arwah yang tiba di rumah selepas dihantar pulang, kira-kira pukul 2.15 petang.

“Saya yang pelik kemudian cuba menghubungi arwah namun gagal sebelum menerima panggilan orang awam memaklumkan kemalangan itu. Setibanya di lokasi kejadian, luluh hati ini melihat jasad anak terbaring kaku dan saya segera memeluk serta mencium pipinya,” ujarnya.

Tambah beliau, dia sekeluarga reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai anak yang taat dan amat mementingkan pelajaran.

“Pada malam sebelum kejadian itu, kami empat beranak sempat makan bersama di sebuah restoran makanan Barat di Tanjong Karang.

Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan kehilangannya berlaku dalam sekelip mata. Ternyata Allah lebih menyayanginya,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 8 Ijok, kira-kira pukul 10 malam kelmarin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN