TANAH MERAH: Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) sedia memberi latihan kepada penjaga pesakit pelantar sekali gus menggelakkan kebergantungan kepada perkhidmatan perawatan domisiliari yang disediakan oleh fasiliti kesihatan setempat.
Pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Hussin berkata, selepas mendapat latihan itu, penjaga boleh melakukan sendiri tugas tersebut tanpa perlu bergantung 100 peratus kepada hospital atau klinik kesihatan.
“Walaupun kita mempunyai pasukan domisiliari tetapi penjaga-penjaga tetap perlu memainkan peranan penting dan aktif. Mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pasukan domisiliari terutama dalam rawatan fisioterapi yang perlu dilakukan secara berterusan,” katanya semasa program Ziarah Kasih di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bukit Gading, di sini hari ini.
Mengenai program Ziarah Kasih itu, Dr. Zaini berkata, seramai empat pesakit dilawati yang mana program itu sangat penting untuk melihat beberapa isu serta masalah yang dihadapi pesakit untuk ke hospital.
“Selain itu kita memberi motivasi, pemeriksaan kesihatan dan sedikit bantuan untuk meringankan beban pesakit dan penjaga atau keluarga,” ujarnya. – UTUSAN