KAJIAN mendapati belia awal (15-18 tahun) masih keliru, manakala belia pertengahan (19-24 tahun) dan belia akhir (25-30 tahun) pula tidak mempunyai maklumat mencukupi mengenai laluan kerjaya yang sesuai dengan minat, potensi dan personaliti mereka. Lebih membimbangkan, ramai memilih jurusan hanya untuk ‘asal masuk universiti’, terpengaruh dengan rakan sebaya atau kerana tekanan keluarga, bukan berdasarkan kesesuaian dengan potensi diri.
Antara faktor utama belia masih keliru mengenai laluan kerjaya ialah kurangnya pendedahan awal tentang kerjaya yang wujud di pasaran. Ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak pernah didedahkan dengan pelbagai bidang kerjaya semasa di sekolah rendah dan menengah, walaupun terdapat program Hari Kerjaya, pendedahannya masih terhad, menyebabkan ramai yang tertanya, “Mengapa saya tidak tahu ada bidang ini?”
Selain itu, ramai pelajar tidak menyedari potensi, kekuatan dan minat diri kerana tidak menjalani penilaian kerjaya secara terancang. Unit Bimbingan dan Kaunseling (UBK) di sekolah telah melaksanakan pelbagai program penilaian minat kerjaya, tetapi masih ada pelajar yang memandang ringan kepentingannya, sedangkan penilaian ini memberi impak besar kepada masa depan mereka.
Kurangnya maklumat menyeluruh tentang program pengajian di universiti juga menyumbang kepada kekeliruan. Ramai pelajar tidak memahami kaitan antara jurusan yang diambil dengan kerjaya sebenar di pasaran kerja. Berdasarkan pengalaman saya mengajar subjek umum merentas fakulti, masih ramai pelajar tahun pertama belum jelas hala tuju kerjaya mereka, menyebabkan ketidakpadanan antara jurusan dengan peluang kerjaya selepas tamat pengajian.
Bimbingan kerjaya sepatutnya tidak hanya bermula apabila pelajar sudah berada di universiti, tetapi perlu dimulakan lebih awal, iaitu seawal tingkatan tiga. Pada tahap ini, pelajar perlu memahami potensi diri dan mula merancang laluan pengajian serta kerjaya sebelum memilih aliran di tingkatan empat, sama ada aliran sains, sastera, perdagangan, teknikal, vokasional, agama atau STEM. Pemilihan aliran ini adalah langkah awal dalam menentukan bidang pengajian dan kerjaya selepas SPM.
Apabila pelajar membuat penilaian minat, personaliti dan nilai hidup secara terancang, mereka dapat membuat pilihan lebih bijak ketika memohon pengajian ke universiti. Dalam konteks Universiti Putra Malaysia (UPM) dan universiti awam lain, pemilihan jurusan pengajian adalah proses kritikal yang memberi kesan besar kepada prestasi akademik, motivasi dan kejayaan kerjaya selepas tamat pengajian.
Sebagai mahasiswa, anda perlu menggilap potensi diri bukan sahaja dalam bidang akademik, tetapi juga melalui penglibatan aktif dalam kelab, persatuan, program sukarelawan dan kepimpinan. Penglibatan ini akan membantu anda membina sahsiah, kemahiran insaniah dan rangkaian sosial yang bermanfaat untuk masa hadapan.
Dalam masa yang sama, pastikan anda bijak membahagikan masa supaya tanggungjawab akademik tidak terabai. Keseimbangan antara pembelajaran dan penglibatan aktiviti akan melahirkan graduan yang holistik, berdaya saing dan bersedia untuk menghadapi masa depan.
Selamat maju jaya di alam universiti, tempat anda menimba ilmu, membina jati diri dan merangka masa depan. Pilihlah jurusan anda dengan bijak, bukan sekadar ikut-ikutan, kerana masa depan anda adalah tanggungjawab anda. – UTUSAN
DR. NUR RAIHAN CHE NAWI
Pensyarah Kanan
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM










