PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki bawah 18 (B-18) negara, Mohd Sufian Mohamad menyifatkan program pembangunan sukan itu berada di landasan tepat selepas melihat kejayaan pasukannya menamatkan kempen Piala Asia B-18 di tempat ketiga, semalam.
Skuad negara menewaskan Bangladesh 5-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga di Dazhou, China dan Sufian berkata, menerusi kejayaan tersebut pemainnya dapat mengorak langkah lebih jauh pada masa depan.
“Saya sangat berbangga kerana kita dapat meraih tempat ketiga. Walaupun diletakkan sasaran ke separuh akhir tapi saya dan pengurusan bersama pemain mengambil tanggungjawab dan cabaran ini untuk pergi lebih jauh.
“Hari ini (semalam) kita telah membuktikan program pembangunan hoki di Malaysia di landasan yang tepat. Saya harap ini dijadikan sebagai satu batu loncatan kepada anak-anak muda untuk pergi lebih jauh pada masa akan datang,” katanya.
Sufian turut berkata, dia berbangga dengan prestasi pemainnya sepanjang kejohanan tersebut berlangsung apabila mereka mempamerkan kesungguhan dalam setiap perlawanan.
“Pemain ingin belajar, itu yang penting malah mereka juga sudah tahu cara-cara untuk menganalisis lawan selain menunjukkan corak permainan berdisiplin,” katanya.
Katanya, menerusi kejohanan tersebut, Sufian berharap pemain-pemain tersebut dapat menyinar di peringkat lebih lebih tinggi pada masa hadapan. – UTUSAN










