Mokky’s Pizza & Coffee sasar jadi jenama piza nombor 1

Mokky’s Pizza & Coffee sasar jadi jenama piza nombor 1

Mokky’s Pizza & Coffee mengetengahkan piza gaya New York.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERMULA di dapur kecil dengan hanya satu resipi pizza, Mokky’s Pizza & Coffee kini berkembang pesat sehingga memiliki enam cawangan dan mencatat purata jualan bulanan sekitar RM1.5 juta.

Diasaskan oleh empat rakan kongsi iaitu Muhammad Shahmi Shaharudin, 31, Umar Abdul Aziz, 31, Muhammad Azfar Abdul Aziz, 32 dan Ahmad Zharif Maslan, 35, Mokky’s mengetengahkan konsep unik yang menggabungkan piza gaya New York dan kopi dalam suasana kafe moden.

Menurut Muhammad Azfar yang berperanan sebagai pengurus konsep, pemasaran dan penjenamaan, gabungan idea berani ini memberi nafas baharu kepada industri piza tempatan.

“Kami mahu pelanggan rasa sesuatu yang berbeza. Datang makan piza bukan sekadar makan, tetapi untuk meraikan sesuatu yang bermakna bersama keluarga dan rakan-rakan dalam suasana yang santai.

“Nama Mokky’s pula diambil daripada panggilan mesra untuk Shahmi, yang memulakan perniagaan ini pada 2021 selepas berhenti kerja sebagai jurutera.

“Shahmi mula buat piza dari rumah kerana minat. Kemudian Umar nampak potensi besar dan ajak buka outlet pertama kami di i-City Shah Alam, masa tu cuma kiosk kecil,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menjelang 2023, mereka mengambil keputusan untuk melakukan penjenamaan semula dan Muhammad Azfar  masuk sebagai rakan kongsi untuk memperkukuh konsep kafe serta memperluas menu.

“Kami mahu buat satu benda baru iaitu piza yang sedap dengan kopi berkualiti dalam kafe yang selesa. Dari situ kami tambah menu seperti pasta, pancake, chicken wings dan banyak lagi,” katanya.

Selain piza, Mokky’s juga terkenal dengan kopi, matcha dan pelbagai pencuci mulut yang disusun teliti bagi melengkapkan pengalaman pelanggan.

Ditanya mengenai cabaran utama yang mereka hadapi, Muhammad Azfar mengakui ia bukan perjalanan mudah, apatah lagi ketika skala perniagaan semakin besar.

“Cabaran paling besar ialah memastikan kualiti makanan dan minuman kami sentiasa konsisten di semua cawangan. Cara kami atasi ialah dengan merancang penuh teliti dan menggaji pekerja yang pakar dalam bidang masing-masing,” jelasnya.

Kini Mokky’s mempunyai enam cawangan beroperasi di Bukit Jelutong, Bukit Tunku, Subang Parade, Setapak, IOI City Mall Putrajaya dan bakal membuka satu lagi di KLGCC Mall pada Oktober 2025.

Menurut Muhammad Azfar, sambutan pelanggan sangat menggalakkan sehingga mereka berani meletakkan sasaran besar untuk masa depan.

“Alhamdulillah, sambutan sangat baik. Kami nampak pelanggan gembira bila datang dan itu buat kami lagi semangat,” katanya.

Mokky’s juga mempunyai misi jangka panjang untuk membawa syarikat ke papan Bursa Malaysia menjelang tahun 2028.

“Kami memang target untuk tawaran awam permulaan (IPO) pada 2028. Kami mahu jadikan Mokky’s sebagai jenama piza nombor satu di Malaysia,” ujarnya.

Muhammad Azfar turut berkongsi bahawa pada awalnya mereka hanya berniaga kerana minat, tetapi lama-kelamaan menyedari perniagaan ini juga membuka peluang pekerjaan kepada ramai orang.

“Kami mahu buat pekerja rasa mereka sebahagian daripada Mokky’s. Jadi kami wujudkan sistem profit sharing supaya semua dapat merasa hasil usaha bersama,” katanya lagi.

Mengulas mengenai keunikan Mokky’s, Azfar berkata selain menawarkan ‘New York style pizza’ yang jarang ditemui, suasana di setiap cawangan juga dirancang untuk membuat pelanggan rasa disambut.

“Kami bukan hanya jual piza dan kopi. Kami jual pengalaman. Tempat kami memang dibuat untuk pelanggan ‘celebrate’ sesuatu yang penting dalam hidup mereka.

“Mokky’s juga melihat jauh ke hadapan, dengan perancangan untuk memperluas operasi termasuk menyediakan dapur bakeri khusus untuk menghasilkan pastri kami sendiri.

“Lepas ini kami rancang buka dapur bakeri sendiri supaya dapat hasilkan semua pastri dalaman dan mungkin bekalkan ke kafe-kafe lain juga. 

“Lebih besar lagi, kami mahu membangunkan Mokky’s sebagai francais yang tetap mengekalkan konsep kafe kejiranan, mesra komuniti dan membina hubungan dengan pelanggan setia.

“Setiap cawangan nanti tetap akan bawa suasana selesa supaya pelanggan rasa mereka di rumah sendiri,” katanya.

Kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan, Muhammad Azfar menasihati supaya benar-benar memahami produk dan konsep yang ingin dibawa.

“Pastikan anda faham betul-betul apa yang anda nak buat. Bila kita yakin dengan produk, pelanggan pun akan percaya dan terus datang balik. 

“Dengan semangat, strategi dan sambutan yang semakin kukuh, Mokky’s kini berada di landasan untuk menjadi jenama pizza pilihan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×