'Saya tak anggap diri seorang bintang' - Utusan Malaysia

‘Saya tak anggap diri seorang bintang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Boleh dikatakan, berulang kali juga aktres jelita ini membuat luahan di media sosial tentang bagaimana dia lebih selesa menjalani kehidupan seperti orang biasa meskipun dirinya tergolong dalam kelompok selebriti.

Pula itu, popularitinya sebagai seorang selebriti juga bukan biasa-biasa. Fasha sejak 22 tahun lalu sudah membina jenamanya dalam industri seni kali gus menyaksikan dia juga sudah selesa berada di kedudukan tersendiri.

Barangkali ada yang berasa pelik mengapa kesederhanaan menjadi jalan pilihan hidup wanita ini sedangkan menerusi segala yang dia miliki, Fasha sudah tentu mampu sahaja mempamerkan kemewahan jika dia mahu.

Bagaimanapun, itu bukan pilihannya. Bagi Fasha, tiada yang salah andai dirinya memilih kesederhanaan, sesuatu yang seringkali dipraktikkannya sejak dari dahulu.

“Saya memang seorang yang sangat sederhana. Ia sudah sebati dengan diri saya sejak dari dahulu lagi. Kalau mereka yang kenal saya, masa awal-awal pembabitan dalam industri seni, semua saya lakukan sendiri.

“Sayalah pemandu kereta, saya buat itu dan ini, semuanya sendiri. Sebab, saya memulakan kerjaya sebagai seorang peragawati.

“Menjadi seorang peragawati pula mendidik saya untuk sentiasa berdikari. Peragawati ini tak perlukan segala rombongan untuk ikut sekali dan sebagainya.

“Sebab itu saya sudah terbiasa buat semua benda sendiri dan ia mendidik saya untuk bersikao sederhana sentiasa. Saya anggap diri bukan seorang bintang, dan dari segala segi, saya lebih selesa bersederhana,”katanya.

Disebabkan itu, Fasha juga mengakui sukar untuk melupakan insiden di mana dia pernah ditegur oleh seorang pramugari sebuah syarikat penerbangan ketika menggunakan perkhidmatan mereka baru-baru ini.

Semuanya gara-gara pilihan sederhananya yang lebih selesa menggunakan perkhidmatan penerbangan kelas ekonomi, tidak seperti kelompok artis atau selebriti lain yang mungkin lebih gemar menggunakan kelas bisnes, sesuai status diri.

Berkongsi mengenai perkara itu, kata Fasha, sepanjang 40 tahun usianya, dia tidak pernah berhadapan dengan situasi seperti itu bila mana dirinya ditegur sedemikian.

“Selama ini, jika saya mahu ke mana-mana dengan menaiki pesawat, saya memang selesa memilih kelas ekonomi. Apalagi setelah sudah berkeluarga, anak ramai dan keluarga besar.

“Biasanya selain keluarga, akan ada pembantu dan staf juga yang akan ikut bersama. Jadi buat apa hendak membazir wang apalagi jik untuk penerbangan jarak dekat,”katanya.

Kongsi isteri aktor, Aidil Aziz ini, secara peribadi, hatinya terluka dengan teguran pramugari terbabit yang baginya tidak sesuai dipertanyakan.

“Ketika keadaan itu berlaku, saya terkejut juga sebab belum pernah lagi ada bertanya kenapa saya ambil kelas ekonomi. Saya tersinggung sebab rasanya soalan itu tak patut ditanya.

“Saya pula selama ini memandang tinggi dengan pekerjaan pramugari ini sebab ia adalah cita-cita saya suatu ketika dahulu. Bagaimanapun, setelah apa ya g terjadi, jangan risau, saya tetap memandang tinggi akan kerjaya ini.

“Setiap kali berada dalam pesawat pun, saya akan sentiasa memerhati dan mengagumi pramugari. Tetapi, apa yang berlaku itu memang tak akan dapat saya lupakan,”ujarnya.

Pun begitu, jelas Fasha, dia bagaimanapun tentunya sudah memaafkan pramugari terbabit termasuk mengakui telah menerima permohonan maaf daripada syarikat penerbangan tersebut.

“Pihak pramugari dan syarikat penerbangan itu pun telah memohon maaf, tak apalah, saya pun sudah maafkan sebab tahu manusia tidak terlepas melakukan kesilapan.

“Tetapi saya luahkan perkara ini juga bukan untuk mengaibkan melainkan mahu memberi pengajaran buat semua pramugari lain supaya tidak melakukan kesilapan sama.

“Sebab bagi saya, ada benda yang awak boleh katakan dan ada juga yang tak wajar ditanya,”katanya.

Dalam perkembangan kerjaya seni, Fasha memberitahu, dirinya teruja untuk menanti reaksi penonton untuk drama terbaharu lakonannya berjudul Dzikir yang akan ditayangkan di kaca televisyen Mei ini.

Menurut Fasha, menerusi drama itu, dia bergandingan dengan aktor Keith Foo dan Fikri Ibrahim di bawah arahan sutradara Harris Fadzillah.

Bagaimanapun, untuk tawaran filem, kata Fasha, dia masih belum mempertimbangkan beberapa tawaran yang datang.

“Kebiasaannya saya akan fikir filem ini memerlukan komitmen yang lebih sebab ia memerlukan persiapan yang lebih lama, kena fikir juga rangka promosi dan sebagainya.

“Mungkin orang akan fikir komitmen untuk filem tidak banyak, tetapi sebenarnya ia juga perlu fokus yang lebih. Sebab itu saya rasa, naskhah drama lebih dekat dengan saya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya