‘Saya sangat layak untuk menuntut cerai’

‘Saya sangat layak untuk menuntut cerai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA pasangan suami isteri yang menginginkan perceraian. Namun, hal berkenaan ajal, jodoh dan rezeki ini ketentuan dan rahsia Tuhan.

Begitu juga halnya dengan perceraian yang dilalui penyanyi terkenal, Mas Idayu yang perkahwinannya bersama Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, 55, sekadar bertahan selama dua tahun.

Pelbagai spekulasi bertebaran di media sosial, ramai netizen yang membuat andaian dan telahan sendiri mengenai perceraian itu. Tidak kurang juga yang menyalahkan Mas Idayu dalam perkara ini.

Pemilik nama penuh Mas Idayu Mesnun bagaimanapun terus mengunci mulut meskipun berdepan asakan pelbagai pihak agar dia menceritakan punca keruntuhan rumah tangganya.

Namun ibu kepada seorang cahaya mata itu berpegang pada pendirian untuk tidak mencanang sebab musabab perpisahannya dengan bekas suami kerana mahu menjaga aib kedua-dua pihak dan enggan memanjangkan isu perceraian itu. Cukuplah masyarakat mengetahui dia dan Sufian tidak lagi bersama.

Bagi yang mengamati lirik Air Titik Ke Batu, lagu terbaharu penyanyi itu bersama rakan duetnya yang juga bekas pelajar Akademi Fantasia musim ke-11, Farez Adnan, pasti mendapat jawapan atau paling tidak pun, bayangan punca perceraian penyanyi itu.

Malah, ada seribu satu sebab mengapa Mas Idayu memilih untuk memperdengarkan lagu tersebut ketika cerita perceraiannya masih ‘panas’ diperkatakan.

Mas Idayu yang ditemui ketika majlis pelancaran lagu tersebut meluahkan rasa kesal dengan tindakan netizen yang ibarat tidak mengenal neraka, membabi buta menuduh dan menyalahkan penyanyi tersebut. Walhal, punca dan asbab perceraian penyanyi itu pun tidak mereka ketahui.

Jadi ada benarnya apabila Mas Idayu menyifatkan pihak-pihak yang menuding jari ini ‘dalam bahaya’, kerana setiap perbuatan dan tuduhan serta persepsi buruk yang mereka lemparkan kepada penyanyi itu pasti akan dihisab dan diper-hitungkan kelak.

“Saya berkahwin dulu pun kerana ajakan dia. Dulu saya mengaku, memang saya suka kepada Sufian. Tapi, jodoh kami tak panjang. bukan sewenang-wenangnya keputusan ini (perceraian) dibuat kerana saya tahu seorang isteri yang menuntut cerai tanpa sebab yang kukuh, bukan setakat tak nampak, bau syurga pun tak hidu.

“Jadi saya tegaskan, saya sangat layak menuntut perceraian ini. Jangan ada yang pusing cerita dan play victim. Dua tahun sahaja rumah tangga kami bertahan. Saya sangat sayangkan perkahwinan ini. Tapi sebelum bercerai, saya lebih dahulu rujuk kepada ilmuan agama, jadi saya layak (tuntut cerai).

“Tapi saya pelik kenapa ramai netizen membuat andaian ibarat mereka benar-benar tahu hal dalam kain saya. Sakit hati saya sebab mereka mengata saya macam-macam. Bahkan, perceraian ini adalah atas keinginan saya sendiri, kenapa pula netizen yang nak marah?

“Saya fikir macam mana mereka nak minta maaf dengan saya sebab bahaya apabila mereka memandai-mandai membuat telahan, tuduh saya itu dan ini,” katanya.

KISAH HIDUP MUMMY

Farez yang juga penulis lirik lagu berkenaan tidak menafikan bahawa lirik lagu tersebut tepat menceritakan mengenai kisah hidup terkini Mas Idayu yang merupakan penyanyi yang disayanginya sejak dulu.

Malah, Mas Idayu sendiri memberi lampu hijau dan kepercayaan untuk penyanyi berusia 28 tahun itu menukil cerita hidupnya dalam lagu.

“Memang lirik lagu ini berkenaan kisah hidup dia. Apa yang saya ceritakan dalam lagu ini adalah kisah benar, bukan perkara yang dibuat-buat. Tapi jauh sekali mahu memburukkan pihak sebelah sana.

“Saya ceritakan berdasarkan kejadian, dari awal sampai akhir. Jawapan yang orang cari mengenai punca perceraian Mas Idayu, ada dalam lagu ini. Saya nak dia happy, walaupun sebelum ini saya melihat kesedihannya, saya nak dia gembira dengan lagu ini.

“Berbelas tahun kita melihat dia menjadi ibu tunggal, dia sebenarnya seorang yang sangat penyayang walaupun nampak garang di luar,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN