‘Saya hanya mahu balas jasa emak’

‘Saya hanya mahu balas jasa emak’

SOFIAH TALIB menerima kucupan daripada anak tunggalnya, Mohd. Rodzi Che Noh di hotel Abraj Al Janadriyah, Mekah baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEKAH: Seorang wanita warga emas berjalan perlahan-lahan dengan sesekali berhenti seketika mengambil nafas, manakala seorang pemuda di hadapannya tu­rut berhenti menoleh dan bertanya dengan lemah lembut ‘Mak okay?’ dan bersama-sama menuju ke kafe di aras G, Abraj Al Janadriyah, di sini.

Sesekali pemuda berketinggian kira-kira 1.7 meter tersebut menuntun tangan wanita lebih separuh abad itu sebelum mereka duduk di kerusi berhampiran tiang di hadapan kafe.

Melihat layanan penuh ihsan lelaki muda itu boleh disimpulkan pasangan tersebut merupakan seorang ibu dan anaknya yang menjadi pengiring untuk jemaah haji lanjut usia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kebetulan duduk di meja ber­hampiran pasangan ibu dan anak itu adalah sekumpulan petugas media Tabung Haji (TH), sebelum wakil agensi berita Bernama, Nurliyana Farhah Ruslan meminta izin untuk menemu bual mereka.

Pembantu Tadbir Hospital Sultanah Bahiyah, Mohd. Rodzi Che Noh, 38, mengiyakan bahawa dia menjadi pengiring kepada ibunya, Sofiah Talib, 76, yang berasal dari Kampung Dalam Kota, Mukim Lepai di Alor Setar.

“Apa yang emak impikan, saya cuba penuhi,” demikian ujar Mohd. Rodzi membuka bicara selain memberitahu bahawa ibunya itu adalah merupakan bekas pesakit kanser payudara tahap dua.

Kata bapa dua anak itu, ibunya dikesan menghidap kanser empat tahun lalu sebelum payudara sebelah kanan sudah ‘dibuang’ bagi mengelakkan ia merebak ke organ lain.

“Selain itu, emak pernah me­nerima panggilan haji pada 2022 namun terpaksa pula ditolak be­ri­kutan faktor kesihatan ayah, Che Noh Hamid ketika itu. Ayah meninggal dunia tahun sama pada usia 95 tahun.

“Kalau diikutkan emak, ayah serta bapa dan ibu saudara sudah berjanji untuk menunaikan haji bersama-sama. Apakan daya hasrat besar emak tertunda atas faktor tersebut.

“Jadi kali ini apabila terima panggilan, saya fikir impian emak adalah impian saya. Satu perkara sahaja dalam pemikiran, saya mahu balas jasa emak,” ujarnya yang gagal menahan sebak ketika ditemu bual baru-baru ini.

Mengingat kembali jerih perih Sofiah membesarkannya tanpa pernah mengeluh, ujar Mohd. Rodzi, meskipun faktor usia lanjut sedikit sebanyak membataskan pergerakan ibunya, dia berazam untuk memastikan ibadah haji insan kesayangan itu dikerjakan sesempurna mungkin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini