PETALING JAYA: Selepas setahun berdiam diri, pelakon muda, Qistina Raisah akhirnya tampil bersuara apabila wajahnya disunting ke dalam video lucah dengan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
Menurut Qistina, penyebaran video palsu itu turut sampai ke pengetahuan ahli keluarganya termasuk ibunya sendiri.
“Saya dah simpan benda ini lama. Dah dekat setahun. Tapi hari ini baru saya berani cakap, itu bukan saya,” katanya menerusi satu video di media sosial.
Jelasnya, ketika video tersebut mula tersebar tahun lalu, penggunaan AI masih belum popular dan sukar untuk orang ramai faham perbezaannya, namun kini, orang ramai sudah mula tahu.
“Dulu AI tak sehebat sekarang, masih belum jadi trend. Tapi sekarang, orang sudah tahu betapa canggihnya AI ni dalam mengubah wajah dan tubuh seseorang.
“Kalau AI boleh buat orang biasa bercium, berpeluk dengan idol K-pop, apatah lagi muka saya disunting dalam video macam itu,” katanya.
Qisina turut mengecam individu yang terbabit dalam penyebaran dan penjualan video tersebut.
“Tolong fikir, satu hari nanti awak akan kahwin, ada anak perempuan, ada keluarga. Apa perasaan kalau benda ini jadi pada orang yang awak sayang?” katanya.
Dengan itu, dia tidak akan memaafkan mereka yang terlibat walau sampai akhir hayat.
“Saya takkan maafkan. Sampai mati pun saya akan ingat,” katanya. – UTUSAN