PETALING JAYA: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif memaklumkan penangguhan lawatan rasmi ke Malaysia dijadualkan Jumaat ini, susulan ketegangan ekoran insiden serangan di wilayah Kashmir baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Shehbaz menerusi panggilan telefon kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.
Menurut Anwar, beliau memahami situasi rumit yang sedang dihadapi Pakistan dan menzahirkan doa agar keadaan segera reda serta tidak terus meruncing.
“Saya mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk keganasan dan menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan untuk siasatan bebas dan telus bagi mengenal pasti dalang sebenar serangan tersebut,” katanya menerusi hantaran di facebook.
Mengulas lanjut, Anwar turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk memainkan peranan dalam meredakan ketegangan sekiranya diperlukan.
Katanya, hubungan baik Malaysia dengan Pakistan dan India merupakan aset penting yang boleh dimanfaatkan demi keamanan dan kestabilan serantau.
Dalam perbualan itu, Shehbaz turut menyatakan penghargaan terhadap hubungan erat antara kedua-dua negara dan mengutarakan hasrat untuk mempercepatkan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) yang sedang dirunding.
“Saya menegaskan komitmen Malaysia untuk menyegerakan urusan tersebut demi kepentingan bersama.
“Insya-Allah, apabila keadaan mengizinkan, kita akan menyambut PM Shehbaz di Malaysia dalam suasana aman dan tenteram,” katanya. – UTUSAN











