PETALING JAYA: Risiko perpecahan dalam PKR kini dilihat semakin tinggi ekoran kehangatan pertembungan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar bagi merebut jawatan Timbalan Presiden parti.
Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua berkata, situasi semasa yang memperlihatkan kenyataan dan sindiran panas selain pertembungan kedua-dua tokoh PKR itu menjadi punca berlakunya perpecahan.
Katanya, apa yang lebih membimbangkan sekiranya perpecahan parti itu melibatkan peringkat dalaman dan akar umbi yang berpuak-puak.
“Kalau pemilihan ini tidak diuruskan dengan baik, akan hilang bakat-bakat yang boleh memperkukuhkan parti.
“Malah tidak mustahil di peringkat akar umbi berlaku tindakan keluar parti beramai-ramai. Justeru, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu bijak menguruskan segalanya,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Rafizi sebelum ini menyeru para perwakilan PKR supaya mengundi pencabarnya, Nurul Izzah sebagai Timbalan Presiden parti yang seterusnya.
Katanya, ia bagi mengelakkan sebarang gambaran negatif terhadap Anwar sekiranya anak perempuannya kalah dalam perebutan jawatan timbalan presiden.
Dalam pada itu, Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, semua pihak yang bertanding perlu reda dan menerima ketentuan dengan sebarang keputusan pemilihan nanti.
Katanya, pemimpin juga perlu terus beristiqomah dengan perjuangan parti demi meraih sokongan dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Kita perlu move on. PKR parti tonggak utama dan sudah ada dalam kerajaan. Mengapa harus cederakan parti? Perlu fikir pasal parti dan negara,” ujarnya. – UTUSAN











