Perak sedia kaji larangan jualan vape - Utusan Malaysia

Perak sedia kaji larangan jualan vape

SAARANI Mohamad duduk di atas motosikal Ducati sebagai gimik pelancaran Lenggong Valley Motorclub di Lenggong, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Perak sedia menilai cadangan pelaksanaan larangan penjualan rokok elektronik atau vape di negeri ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, beliau cuba membawa perkara itu di dalam mesyuarat Exco negeri pada minggu depan.

Katanya, usaha itu akan dibawa kepada perhatian Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A. Sivanesan untuk melakukan kajian menyeluruh.

“Sivanesan akan membuat kajian tentang banyak perkaralah. Jika didapati lebih baik (larangan), maka kita pilih lebih baiklah.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa keputusan bersendiri sebab kita ada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang akan membuat keputusan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Lenggong Valley Motorclub di sini hari ini.

Beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dilaporkan sedia mempertimbangkan pelaksanaan larangan penjualan vape, sekiranya penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) tidak membawa kesan positif.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata kerajaan negeri melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai hak untuk tidak mengeluarkan lesen kepada peniaga vape.

Dalam pada itu Saarani berkata, kajian yang dibuat akan melibatkan maklum balas daripada pelbagai pihak termasuk peniaga, ibu bapa serta Jabatan Mufti Negeri.

Mengenai program yang dihadirinya, Menteri Besar itu berkata pelancaran Lenggong Valley Motorclub mampu membawa kebaikan kepada penduduk di kawasan tersebut serta merancakkan sektor pelancongan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN