Lontara merupakan sistem tulisan tradisional masyarakat Bugis di Sulawesi, Indonesia, yang turut diwarisi di Sabah.
Namun, penggunaannya semakin berkurangan kerana kebanyakan komuniti Bugis di Negeri Bawah Bayu kini menggunakan huruf Rumi dalam kehidupan harian.
Tertarik dengan keindahan aksara itu, pereka muda, Siti Nur Jana Salimon mengangkat Lontara sebagai sumber ilham dalam koleksi fesyennya.
Rekaannya menggabungkan elemen tradisi dan kontemporari menerusi pemilihan motif, struktur serta teknik hiasan permukaan.
“Aksara Lontara menjadi asas utama dalam pembentukan corak dan motif tetapi diolah semula dalam susunan yang lebih moden bagi menghasilkan kesan visual yang segar tanpa mengubah identiti asal.
“Istimewanya, huruf-huruf yang dipilih mewakili nama saya, Jana,” katanya baru-baru ini.

Graduan Reka Bentuk Fesyen, Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini turut menampilkan siluet besar dengan penekanan pada garis geometrik memberi imej tegas dan moden.
Teknik cetakan dan quilting pula diaplikasikan untuk menonjolkan tekstur, kedalaman serta variasi lapisan pada fabrik.
Sentuhan itu sekali gus menambahkan nilai estetik pada keseluruhan koleksinya.
Dari segi warna pula, ia menggabungkan rona jingga, merah, ungu, putih dan hijau.
Pemilihan warna itu diinspirasikan daripada pakaian tradisional masyarakat Bugis, baju bodo.
Contohnya, warna jingga melambangkan gadis, merah (dewasa), ungu (janda), putih (inang dan dukun) manakala hijau (bangsawan).

Cabaran
Antara cabaran utama dalam penghasilan koleksi ini ialah pengendalian fabrik satin terutama dalam proses cetakan corak agar hasilnya kemas dan berkualiti.
Selain itu, terjemahan aksara Lontara ke dalam motif fesyen turut menuntut ketelitian agar identiti budaya kekal terpelihara dalam gaya kontemporari.
“Bagaimanapun, semua cabaran ini memberikan pengalaman berharga dalam mengasah kemahiran, kreativiti dan disiplin sebagai pereka fesyen,” katanya. – UTUSAN









