Seronok main salji di Seoul

Seronok main salji di Seoul

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANA ada salji? Ya, saya sedikit terkilan apabila mendapati tiada hamparan salji sebaik sahaja melangkah keluar dari balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon.

Beberapa hari sebelumnya, media sosial memaparkan salji turun dengan lebat hinggakan bumi Seoul umpama ditutupi karpet putih.

Mungkin bukan rezeki saya dan keluarga yang sudah memasang impian mahu menikmati salji turun dari langit semasa percutian ke ibu negara Korea Selatan, baru-baru ini.

Oleh kerana sampai waktu malam, kami hanya sempat ke pasar malam Myeongdong pada hari pertama. Lokasinya tidak jauh dari penginapan kami, kira-kira 500 meter, jalan kaki sahaja.

Myeongdong merupakan antara lokasi beli-belah utama di Seoul.

Dari gedung-gedung berjenama hinggalah gerai-gerai yang menjual produk tempatan, semuanya ada untuk memenuhi kehendak beli-belah mengikut bajet masing-masing. Makanan pun sedap-sedap!

Keesokan harinya kami ke Gangnam City, memakan masa kira-kira 20 minit menaiki teksi.

Terasa perbezaan suasananya dengan pusat bandar Seoul.

Ini kerana bandar tersebut merupakan kawasan elit dan moden, juga dihuni ramai golongan kaya-raya dan selebriti.

Tempat persinggahan pertama kami tentulah Perpustakaan Starfield Coex.

Kalau biasa belek media sosial, tempat ini ‘wajib’ untuk OOTD (outfit of the day) berlatarbelakangkan kira-kira 50,000 buku pelbagai genre.

Sesiapa sahaja boleh masuk perpustakaan dua tingkat ini untuk membaca secara percuma.

Kami rasa setahun pun tidak cukup kalau nak habiskan membaca kesemua buku. Jadi, cukuplah sekadar merakam gambar sebagai kenangan.

Puas ambil gambar, kami meninjau arca gangsa Gangnam Style setinggi lima meter di luar bangunan.

Gangnam Style ialah lagu K-pop yang sangat popular pada 2012 dinyanyikan oleh Psy.

Sempat jugalah kami meniru tarian ala menunggang kuda diperkenalkan oleh Psy di bawah arca tersebut.

Hongdae menjadi destinasi kami seterusnya. Inilah tempat ‘lepak’ golongan muda.

Tidak hairanlah ia mendapat jolokan ‘kota fesyen’, seni moden serta muzik indie, kafe dan hiburan malam buat golongan itu.

 

Istana Gyeongbokgung
Hanbok dan Istana Gyeongbokgung, tidak lengkap ke Korea Selatan jika tidak tersenarai dalam ‘jadual lawatan.’

Sambil mengenakan pakaian tradisional Hanbok yang disewa, kami menyaksikan upacara pertukaran barisan pengawal.

Upacara ini sama seperti dilakukan sewaktu era pemerintahan Dinasti Joseon dari 1392 hingga 1910.

Melihat pakaian para pengawal serta gelagat pengunjung yang mengenakan hanbok, kami terasa seolah-olah berada pada zaman tersebut.

Usai persembahan, kami berjalan kaki ke perkampungan tradisional Namsangol Hanok, terletak kira-kira dua kilometer dari Istana Gyeongbokgung.

Perkampungan tersebut suatu ketika dahulu dihuni oleh golongan bangsawan dan pegawai yang berkhidmat di bawah pemerintahan maharaja.

Sambil memakai hanbok, kami menyusuri lorong-lorong kecil di celah-celah rumah tradisional yang dipanggil hanok.

Sehinggalah kami tiba di sebuah bengkel seorang pelukis terkenal, Kim Hyun Kwa.

Meskipun perbezaan bahasa agak membataskan perbualan kami, tapi dia cukup bersemangat untuk berkongsi cerita pasal bola sepak termasuk kelincahan bekas jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon.

Kami agak terkejut apabila dia menyebut nama Soh Chin Aun. Dia amat mengagumi bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan ketika era 1970-an dan 1980-an.

Dia masih ingat, pasukan bola sepak Korea Selatan dan Malaysia dahulu sama-sama ‘naik.’

Kalau berentap di padang, pasti penuh aksi-aksi mendebarkan, masing-masing berbalas serangan ke gawang musuh.

 

Dataran Gwanghwamun
Matahari mula terbenam ketika kami sampai di pintu Gwanghwamun di Istana Gyeongbokgung yang berlatarbelakangkan Gunung Inwangsan.

Ada pertunjukan cahaya dan laser yang cukup menarik.

Berhampirannya pula ialah Dataran Gwanghwamun yang berusia lebih 600 tahun. Tarikannya ialah patung besar Raja Sejong yang mencipta abjad Korea, iaitu Hangeul.

Juga ada patung Laksamana Yi Sun-shin yang mengetuai pasukannya mengalahkan armada Jepun ketika perang dari 1592 hingga 1598.

Peminat K-drama pasti tahu lokasi ini kerana sering menjadi lokasi penggambaran.

Bersebelahan dataran ini ada Festival Tanglung Seoul yang merupakan acara tahunan pada musim sejuk.

Pelbagai tanglung tradisional dan moden memenuhi Sungai Cheonggyecheon. Sangat bercahaya dan meriah suasananya.

 

Vivaldi Park
Keesokan harinya kami ke Vivaldi Park terletak kira-kira 100 kilometer dari Seoul untuk bermain ski.

Rasa teruja dan saspens bercampur baur kerana inilah pengalaman pertama kami.

Kami disediakan kelengkapan sebelum ke kawasan luncur untuk mendengar taklimat dan latihan daripada jurulatih.

Dari bilik persalinan ke kawasan itu, kami terpaksa berjalan sejauh 50 meter dengan but ski sambil memakai jaket dan seluar tebal, topi keledar, gogal dan memikul papan luncur serta tongkat.

Sudahlah berat, terpaksa mengimbangkan badan pula sebab tapak but ski tidak rata. Terkedek-kedek macam penguin gaya kami berjalan!

Kami diajar teknik bermain ski sebelum dilepaskan oleh jurulatih untuk mencuba sendiri.

Kalau tengok televisyen (TV) dan gambar memang nampak seronok main ski tapi letih dan peritnya, Tuhan sahaja yang tahu. Selepas ini kalau dipelawa lagi main ski, kami akan fikir banyak kali!

Pyeongchang
Masih tidak puas menikmati salji, kami ke Pyeongchang keesokannya menaiki kereta api yang memakan masa kira-kira sejam setengah dari Seoul.

Pyeongchang pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik musim sejuk pada 2018.

Di situ, kami menaiki kereta kabel ke puncak gunung ke-12 tertinggi di Korea Selatan, iaitu Balwangsan.

Kereta kabel sejauh 7.4 kilometer itu merupakan yang terpanjang di Asia dan memakan masa kira-kira 20 minit menghubungkan hingga Balwangsan Skywalk.

Dari ketinggian platform 1,458 meter dari aras laut, terhampar pemandangan mengagumkan seluas mata memandang. Tidak hairanlah lokasi ini menjadi pilihan penggambaran K-drama

dan filem terkenal, antaranya Goblin.

 

Pulau Nami
Bagi peminat drama Winter Sonata yang popular di TV sekitar 2002 dahulu, pulau yang kami lawati pada hari keenam ini pastinya bukan asing buat mereka.

Lokasi-lokasi yang mencetuskan bibit-bibit percintaan watak-watak utama drama tersebut, iaitu Joon-sang dan Yoo-jin masih sama seperti hari ini.

Bagi pasangan suami isteri yang mahu menghangatkan kembali kasih sayang mereka, Pulau Nami mesti masuk dalam wish list mereka.

Deretan pokok metasequoia, anak sungai dan kehijauan hutan menjadikan suasana cukup romantis, indah dan mendamaikan.

Sebelum ke Pulau Nami, kami singgah di Lembah Ais Eobi.

Di sini terdapat dinding ais semula jadi setinggi 25 meter yang terbentuk daripada air terjun yang membeku pada musim sejuk. Sangat menakjubkan!

‘Hujan’ salji
Hari terakhir di Seoul dengan tidak disangka-sangka, pukul 6 pagi, salji turun!

Apa lagi, dengan baju tidur dan hanya ditutupi jaket, kami bergegas keluar dari bilik untuk ‘meraikan’ detik berkenaan.

Inilah pertama kali kami melihat sendiri salji turun.

Tanpa menghiraukan suhu -1 darjah Celcius, umpama kanak-kanak, kami mendepangkan tangan sambil muka menghadap langit untuk menikmati hujan salji yang ‘gebu bak kapas.’

Pastinya saat ini menjadi kenangan terindah kami di Korea Selatan dan ‘hadiah’ paling berharga sebelum pulang ke tanah air.

Annyeonghi gyeseyo. Kalau ada rezeki, kita berjumpa lagi Seoul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×