LONDON: Kerajaan United Kingdom (UK) memaklumkan undang-undang bagi mengawal selia syarikat mata wang kripto akan berkuat kuasa mulai 2027, dengan peraturan yang tegas dan seimbang bagi menyokong industri sambil melindungi pengguna.
Syarikat mata wang kripto akan dikawal selia oleh Pihak Berkuasa Kelakuan Kewangan (FCA) sama seperti penyedia produk kewangan lain, termasuk tertakluk kepada piawaian ketelusan yang ditetapkan, menurut kenyataan Kementerian Kewangan Britain.
FCA sebelum ini memaklumkan peraturan berhubung rangka kerja khusus bagi mata wang kripto akan diterbitkan menjelang 2026.
“Memasukkan kripto ke dalam rangka kawal selia merupakan langkah penting untuk mengukuhkan kedudukan UK sebagai pusat kewangan bertaraf dunia dalam era digital.
“Dengan memberikan garis panduan yang jelas kepada syarikat, kami menyediakan hala tuju yang jelas untuk mereka melabur, berinovasi dan mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi di UK,” kata Menteri Kewangan, Rachel Reeves dalam kenyataan itu.
Menurut Reeves, undang-undang tersebut akan memberikan perlindungan pengguna yang kukuh kepada jutaan orang, sekali gus menghalang pelaku tidak bertanggungjawab daripada beroperasi di pasaran UK.
Kesatuan Eropah (EU) memperkenalkan undang-undang serupa setahun lalu, manakala Amerika Syarikat (AS) pula secara berperingkat melaksanakan peraturan tersendiri berkaitan kawal selia mata wang kripto.
Token digital, dengan bitcoin sebagai yang terbesar, semakin mendapat perhatian pengawal selia susulan beberapa kontroversi dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk kejatuhan besar beberapa platform pertukaran kripto.
Khamis lalu, mahkamah di AS menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas tokoh kripto, Do Kwon, atas kesalahan penipuan berkaitan kegagalan syarikatnya yang mengakibatkan kerugian AS$40 billion (RM163.5 billion) wang pelabur serta menggugat pasaran kripto global. -AGENSI










