BESUT: Seorang juruteknik pendawaian diberkas polis selepas disyaki melakukan samun bersenjata di sebuah kedai runcit di Bandar Jertih, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintenden Azamuddin Ahmad @ Abu berkata, perbuatan jenayah suspek berusia 21 tahun itu mengundang padah selepas suspek yang melarikan diri kembali ke kedai terbabit untuk mengambil motosikal yang ditinggalkan selepas melakukan samun bersenjatakan pisau.
Katanya, suspek ditangkap pekerja kedai terbabit sebelum menghubungi dan menyerahkannya kepada polis.
“Dalam kejadian kira-kira 5.45 pagi semalam, suspek yang memakai topi keledar bercermin gelap masuk ke kedai runcit berkenaan sebelum mengacukan sebilah pisau kepada pekerja lelaki berumur 30 tahun. Dia mengarahkannya untuk mengeluarkan wang dari laci yang berjumlah lebih RM500 dan dimasukkan ke dalam beg dibawa olehnya.
“Suspek kemudian melarikan diri namun dikejar pemilik kedai sehingga menyebabkannya gagal membawa lari motosikal yang ditinggalkan berdekatan kedai terbabit,” katanya dalam sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Besut, di sini, hari ini.
Azamuddin berkata, suspek kemudian kembali ke kedai itu kira-kira pukul 6.30 pagi dengan menukar pakaian lain bagi mengaburi mata pekerja kedai untuk mengambil motosikal yang ditinggalkan.
Namun, kata beliau tindakannya itu gagal apabila suspek dapat dikenali oleh pekerja terbabit dan menangkapnya.
Katanya, hasil daripada penangkapan suspek, polis berjaya menemukan kembali wang tunai berjumlah RM511 dan merampas peralatan serta motosikal yang digunakannya termasuk 4.26 gram pil jenis EPAM.
“Hasil ujian air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dadah jenis morfin dan dia telah direman selama tujuh hari bermula hari ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya. – UTUSAN