Penduduk orang Asli takut gajah musnah tanaman

Penduduk orang Asli takut gajah musnah tanaman

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kanan) bertanya khabar penduduk terjejas akibat gajah di Kampung Ceranok, Pos Simpor, Gua Musang, Kelantan. – UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 30 penduduk Orang Asli di Kampung Ceranok, Pos Simpor di sini, hidup dalam ketakutan dan tidak dapat tidur lena apabila seekor gajah merosakkan sumber makanan diusahakan.

Penduduk mendakwa, sejak dua minggu lalu, bermula pukul 6 petang sehingga 6 pagi, gajah berkenaan berada di kawasan kebun dan merosakkan pokok ubi kayu, ubi keledek dan pisang yang ditanam mereka.

Penduduk, Sarina Hasan, 40, berkata, gajah datang hampir setiap malam menyebabkan sumber makanan sara diri keluarga mereka berkurangan.

“Sejak dua minggu lalu, gajah kerap muncul di kawasan kebun dan penempatan penduduk sehingga memberi ancaman keselamatan.

“Ia merosakkan hasil tanaman dan kami buntu memikirkan nasib yang bergantung kepada hasil tanaman sebagai sumber makanan. Jika keadaan berterusan kami bimbang sudah tiada hasil tanaman seperti pisang, ubi kayu dan padi bukit untuk dijadikan makanan keluarga,” katanya semalam.

Wakil komuniti Pos Simpor, Winson Bah Kuasan, 35, berkata, laporan berhubung perkara itu dibuat ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).

“Kami harap penyelesaian jangka panjang dilakukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhi­litan) dapat mengatasi masalah Orang Asli yang tinggal di kawasan pedalaman.

“Tindakan menghalau dan menyalakan unggun api dila­kukan namun tidak berhasil,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani berharap agensi berkaitan dapat mencari penyelesaian konflik haiwan liar dan penduduk di kawasan pedalaman.

“Pihak kami mengagihkan bantuan beras bagi membantu penduduk yang terkesan de­ngan ancaman haiwan liar.

“Saya berharap Perhilitan datang membantu menyelesaikan masalah yang dialami bagi menghalau gajah sekali gus meredakan ketakutan penduduk kampung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN