Siswi Orang Asli, pasangan kembar mula perjuangan di menara gading

Siswi Orang Asli, pasangan kembar mula perjuangan di menara gading

Pasangan kembar
KEMBAR seiras, Damia dan Fahima (tengah) teruja memulakan pengajian dalam bidang pendidikan TESL dekat UKM Bangi, Selangor. - UTUSAN / AFIERA KHAIRULAZMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGI: Pasangan kembar, Mirrah Damia Mohd. Ali dan Mirrah Fahima Mohd. Ali dan anak Orang Asli, Arika Maira Nordin antara 4.078 mahasiswa baharu yang mendaftar masuk di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, semalam.

Mirrah Damia dan Mirrah Fahima berasal dari Bachok, Kelantan itu masing-masing mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) selepas menamatkan pengajian diploma dalam bidang sama di Kolej Poly-Tech MARA Kota Bharu.

Mirrah Damia berkata, peluang menyambung pengajian di UKM menjadi lebih bermakna kerana sejak kecil mereka tidak pernah berpisah dan sering berkongsi minat serta kecenderungan yang sama.

Katanya, mereka turut ditemuduga dalam bilik yang sama bagi kemasukan ke UKM, namun dikejutkan dengan penempatan kolej kediaman yang berbeza.

“Dari sekolah rendah hingga kini kami sentiasa ambil kursus dan bidang pelajaran yang sama. Keputusan peperiksaan pun selalunya sama, termasuk Sijil Pelajaran Malaysia dan CGPA semasa diploma.

“Mula-mula rasa risau bila tahu kolej berbeza sebab tidak tahu sama ada jauh atau dekat. Tapi kami ambil ia sebagai cabaran baharu kerana sepanjang hidup, kami tidak pernah berpisah,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Fahima berkata, profesion ibu bapa mereka yang juga pendidik menjadi pendorong utama untuk memilih bidang pengajian tersebut.

Sementara itu, Arika Maira dari Bera, Pahang turut tidak menyembunyikan rasa bangga apabila diterima sebagai pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Forensik di UKM.

Orang Asli
ARIKA MAIRA NORDIN

Anak kedua daripada tiga beradik dari suku Semelai itu berkata, dia mahu menjadi inspirasi kepada anak-anak Orang Asli lain supaya tidak berputus asa dalam menuntut ilmu serta bercita-cita mahu membantu komuniti Orang Asli pada masa depan.

Katanya, dia juga pernah berdepan cabaran pembelajaran yang hampir melemahkan semangatnya.

“Pernah rasa kurang yakin, tapi saya cari penyelesaian dan kuatkan semangat kerana mahu banggakan mak ayah. UKM dan kursus ini memang pilihan pertama saya,” katanya.

Arika berkata, dia berasa teruja kerana berpeluang belajar jauh dari kampung dan melihatnya sebagai peluang untuk berdikari serta menguruskan diri sendiri.

“Saya memang minat tonton drama dan rancangan yang berkaitan sains forensik. Saya mahu jadi salah seorang yang dapat membantu menyelesaikan kes-kes jenayah pada masa hadapan,” katanya.

UKM hari ini menyaksikan pendaftaran seramai 4,078 pelajar baharu untuk program Ijazah Sarjana Muda bagi sesi akademik 2025/2026.

Pendaftaran itu melibatkan pelbagai latar belakang pelajar dari seluruh Malaysia termasuk 12 pelajar orang kurang upaya (OKU), enam pelajar Orang Asli, empat pasangan kembar dan tujuh pasangan adik-beradik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN