Kelantan bidas NGO guna Orang Asli untuk halang projek pembangunan Gunung Chamah

Kelantan bidas NGO guna Orang Asli untuk halang projek pembangunan Gunung Chamah

MOHAMED FADZLI HASSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan membidas tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menggunakan Orang Asli untuk menghalang projek pembangunan di Gunung Chamah, Gua Musang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, proses berkenaan sudah pun mengambil kira keperluan serta kepentingan masyarakat Orang Asli dan kerajaan negeri tidak pernah menafikan tanggungjawabnya terhadap komuniti itu walaupun mereka berada di bawah jagaan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

“Jadi isunya adalah ada pihak tertentu yang menggunakan masyarakat Orang Asli untuk mencapai agenda atau kepentingan mereka dan kita tidak mahu berlaku sebegitu.

“Maknanya biar mereka (masyarakat Orang Asli) datang sendiri dan buat aduan secara formal mengikut saluran yang betul,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Mohamed Fadzli memberitahu, semua projek pembangunan dilaksanakan oleh kerajaan negeri perlu mendapat kelulusan beberapa agensi di peringkat negeri dan pusat termasuk kelulusan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Katanya, bagaimanapun kerajaan negeri akan tetap melihat memorandum berkaitan projek pembangunan kawasan Gunung Chamah, Gua Musang, dekat ini yang diserahkan kepada kerajaan negeri pada 28 Ogos lalu.

“Perkara ini sebenarnya bukan isu baharu dan memorandum sebelum ini pernah diberikan pertimbangan oleh kerajaan negeri. Kita juga tahu banyak NGO (badan bukan kerajan) masuk ke kawasan penempatan Orang Asli sebelum ini, termasuk pihak yang cuba ambil kesempatan.

“Kerajaan negeri juga sudah menugaskan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat, Zamakhshari Muhamad untuk mengambil tahu hal ehwal Orang Asli dan beliau sentiasa melawat kawasan penempatan mereka,” ujarnya.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan hampir 1,000 penduduk Orang Asli di Pos Simpor, Gua Musang bimbang masa depan mereka terjejas berikutan pelaksanaan projek Bandar Peranginan Tanah Tinggi Gunung Chamah didakwa mula mengganggu ekosistem hutan serta sumber air sejak tahun lalu.

Wakil Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Nor Mohd. Syafiq Dendi Abdullah berkata, pembangunan tersebut bukan sahaja mengundang pencemaran Sungai Perias yang menjadi nadi kehidupan masyarakat setempat, malah turut meningkatkan ancaman daripada haiwan liar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN