MAIS daftar 1,053 mualaf baharu di Selangor

MAIS daftar 1,053 mualaf baharu di Selangor

Mualaf Selangor
MAZLAN Mansor (tengah) menyerahkan simbolik cek cura RM1.5 juta kepada Timbalan Setiausaha Operasi MAIS, Dr Norzaihan Mohd. Zain pada program itu, dekat Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, Semenyih, di Hulu Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mendaftarkan seramai 1,053 individu sebagai mualaf sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Mazlan Mansor berkata, pihaknya memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi pengurusan pendaftaran itu dalam usaha memperkasakan tadbir urus hal ehwal saudara baharu.

“Peruntukan itu memfokuskan kepada menyantuni mualaf menerusi pendaftaran pengislaman sempurna dan sah dari sudut perundangan. Ia turut meliputi pelaksanaan program komuniti, insentif galakan saudara baharu dan sokongan kepada badan kebajikan Islam.

“Semua aktiviti secara bersepadu itu bagi memastikan pembangunan akidah, sahsiah dan integrasi mualaf ke dalam masyarakat Islam dapat direalisasikan secara inklusif,” katanya kepada pemberita, semalam.

Terdahulu, beliau merasmikan Kempen Bulan Muallaf dan program Pemurnian Pengislaman dan Dakwah Orang Asli Daerah Hulu Langat di Kampung Orang Asli Sungai Lalang Baru, Semenyih.

Mazlan berkata, MAIS menerima seramai 1,053 muallaf yang didaftarkan pengislaman bermula Januari sehingga bulan lalu.

“Sehingga kini, sebanyak 42 Pusat Pengurusan Pengislaman (PPP) disediakan berbanding 39 pusat sebelum ini.

“PPP bertanggungjawab memberi konsultasi kepada individu yang mahu membuat pendaftaran pengislaman dengan suci hati dan kerelaan sendiri tanpa paksaan,” jelasnya.

Tambah beliau, PPP turut berperanan membantu MAIS dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam proses penjagaan, perlindungan dan pengajaran kepada mualaf.

“Ia turut meliputi Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) di setiap daerah Selangor, Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK) dan masjid-masjid yang mendapat kebenaran.

“Selain itu, masyarakat digalakkan menjadi pemudahcara dengan membantu mualaf ke PPP beserta dokumen berkaitan bagi urusan pendaftaran pengislaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN