SAMBUTAN Hari Orang Asal Sedunia yang diraikan pada 9 Ogos setiap tahun merupakan detik penting untuk mengiktiraf sumbangan, hak dan budaya masyarakat Orang Asal di seluruh dunia, termasuk di Malaysia. Salah satu aspek paling kritikal dalam pemeliharaan identiti Orang Asal ialah bahasa warisan yang menjadi cerminan budaya, sistem kepercayaan dan sejarah sesuatu komuniti.
Menyedari hakikat ini, Majlis Dekan-Dekan Bahasa Universiti Awam (MALDEC) telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Bahasa Warisan sebagai inisiatif penting dalam memartabatkan bahasa-bahasa etnik, termasuk bahasa Orang Asal di peringkat pendidikan tinggi.
Pasukan Petugas Khas Bahasa Warisan ini bertindak sebagai platform strategik untuk merangka dasar, membina kurikulum serta menjalankan penyelidikan dan dokumentasi bahasa warisan secara sistematik. Inisiatif ini turut menyokong aspirasi negara untuk mengekalkan kepelbagaian linguistik sebagai sebahagian daripada warisan nasional yang tidak ternilai. Dengan melibatkan institusi pengajian tinggi (IPT), tenaga akademik, pelajar dan komuniti tempatan, Pasukan Petugas Khas ini memberi tumpuan kepada pembangunan bahan ajar, latihan pengajar bahasa warisan dan pelaksanaan program pendidikan berasaskan budaya.
Sempena Hari Orang Asal, usaha seperti ini menjadi sangat signifikan kerana ia bukan sahaja mengekalkan keunikan budaya Orang Asal, tetapi juga memberi ruang kepada bahasa-bahasa minoriti ini untuk bertapak dalam arus akademik. Sebagai contoh, Permukiman MaLDec 2025 yang dianjurkan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) merupakan antara titik tolak penting dalam usaha memperkasakan bahasa warisan melalui penglibatan pelbagai universiti, termasuk kerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta pakar bahasa tempatan. Forum seperti ini membincangkan cabaran dan hala tuju pendidikan bahasa warisan, termasuk yang dituturkan oleh masyarakat Orang Asal di Sabah dan Sarawak.
Namun, realitinya masih banyak cabaran yang perlu diatasi. Antaranya ialah kekurangan tenaga pengajar mahir dalam bahasa warisan, ketiadaan bahan pengajaran berkualiti, serta kurangnya pendedahan pelajar Orang Asal terhadap potensi akademik dalam bidang linguistik dan budaya sendiri.
Pengaruh digitalisasi turut mencabar penggunaan bahasa ibunda, terutama apabila generasi muda lebih cenderung kepada penggunaan bahasa global dalam media sosial dan komunikasi harian.
Bagi menangani isu ini, Pasukan Petugas Khas Bahasa Warisan mencadangkan pendekatan lebih kreatif dan kontemporari melalui pengajaran berasaskan budaya dan penggunaan teknologi. Contohnya, penghasilan aplikasi pembelajaran dalam bahasa Orang Asal, video dokumentari pendek dan penerbitan buku cerita kanak-kanak dalam bahasa ibunda dapat meningkatkan kesedaran dan kebanggaan terhadap warisan sendiri. Pelajar di IPT turut digalakkan menyertai projek komuniti dan penyelidikan dokumentasi bahasa sebagai sebahagian daripada keperluan kursus atau projek akhir tahun.
Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi juga memperlihatkan komitmen melalui Pelan Tindakan Pemerkasaan Bahasa Melayu di IPT, yang turut memberi ruang kepada bahasa warisan sebagai sebahagian daripada ekosistem ilmu. Universiti seperti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini giat melaksanakan aktiviti kesarjanaan berkaitan bahasa dan budaya tempatan termasuk melibatkan pelajar Orang Asal dalam program pembangunan kendiri berasaskan linguistik dan budaya komuniti.
Usaha Malaysia ini juga selari dengan saranan UNESCO yang telah mengisytiharkan Dekad Bahasa Orang Asal 2022–2032, bagi meningkatkan kesedaran global terhadap kepentingan pemeliharaan bahasa etnik. UNESCO menegaskan bahawa kehilangan bahasa ibunda bukan sahaja kehilangan komunikasi, tetapi juga kehilangan cara hidup dan pengetahuan tempatan yang tidak dapat digantikan.
Justeru itu, sempena Hari Orang Asal ini, kita perlu mengiktiraf betapa pentingnya Pasukan Petugas Khas Bahasa Warisan di bawah MALDEC dalam memacu pemerkasaan bahasa warisan di peringkat universiti. Ia bukan sahaja membantu mengangkat martabat bahasa Orang Asal ke tahap lebih tinggi, tetapi turut membuka ruang kepada pelajar Orang Asal untuk berbangga dengan identiti mereka serta melihat bahasa sendiri sebagai aset akademik dan profesion masa hadapan.
Masa depan bahasa warisan bergantung kepada tindakan hari ini dan pendidikan tinggi memainkan peranan paling utama dalam menentukan arah tuju tersebut. – UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Mazura @ Mastura Muhammad ialah Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).










