Pekerja maut dilanggar lori ketika berhenti di lampu merah

Pekerja syarikat kurier maut dilanggar lori ketika berhenti di lampu merah

Pekerja maut
LORI yang dipercayai melanggar motosikal yang sedang berhenti di lampu isyarat sehingga menyebabkan penunggangnya maut di Jalan Labohan, Banting, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Seorang pekerja syarikat kurier multinasional yang maut dalam kemalangan dekat Jalan Labohan di Banting, semalam dipercayai akibat dilanggar oleh sebuah lori dari arah belakang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd. Akmalrizal Radzi berkata, kejadian berlaku dekat Kilometer 13 iaitu di persimpangan lampu isyarat menghala ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) (Jalan Banting – KLIA).

Menurutnya, ketika kejadian lelaki berusia 40-an itu sedang berhenti di lampu merah namun dilanggar dari arah belakang oleh lori berkenaan lalu tercampak sebelum terperosok di bawah kenderaan berat itu dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Pemandu lori berusia 30-an itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk membuat laporan dan dirakam keterangan.

“Siasatan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41 (1) Aktan Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Utusan Malaysia semalam melaporkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.34 tengah hari berhubung kemalangan membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang maut selepas terperosok di bawah lori.

Penolong Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memberitahu, kemalangan membabitkan sebuah lori 10 tan dan motosikal Yamaha LC.

Tambah Mohd. Akmalrizal, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu supaya menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Mohd. Sohairi Manaf di talian 019-9993077 atau 03-31872222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN