KUALA LUMPUR: Potongan harga yang ditawarkan sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 menjadi tarikan utama yang mendorong kehadiran ribuan pengunjung setiap hari di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Rata-rata pengunjung tidak kisah bersesak dan beratur panjang demi mendapatkan bahan bacaan pada harga lebih rendah, sama ada buku rujukan, novel mahupun buku kanak-kanak.
Seorang pengunjung tetap PBAKL, Akmal Nur Hakim, 25, berkata, dia hadir hampir setiap tahun kerana berpuas hati dengan tawaran harga istimewa daripada pelbagai penerbit.
Katanya, peluang seperti ini amat dinantikan kerana selain dapat menjimatkan perbelanjaan, pembelian buku secara fizikal juga memberi pengalaman berbeza berbanding membeli dalam talian.
“Semalam saya beli buku kanak-kanak untuk anak saudara dan hari ini saya kembali semula untuk mendapatkan novel yang saya minati. Harga yang ditawarkan sangat murah dan berbaloi.
“Saya sanggup bersesak dengan orang ramai kerana pesta buku ini ibarat ‘syurga’ pencinta buku. Selain murah, kita juga boleh menilai isi kandungan buku secara terus,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, pelajar jurusan perubatan sebuah universiti awam, Aqilah Izzati Yusoff, 22, berkata, dia mengambil peluang untuk membeli buku rujukan dengan harga diskaun sebaik selesai kelas harian.
Katanya, PBAKL bukan sahaja memudahkan pelajar mendapatkan buku rujukan yang sukar dicari di kedai biasa, malah turut mendedahkan mereka kepada pelbagai jenis penerbit dan bahan ilmiah baharu.
“Buku perubatan sememangnya mahal, namun di sini saya dapat membelinya pada harga yang jauh lebih rendah. Ini sangat membantu pelajar seperti saya,” katanya.
Seorang lagi pengunjung, Aida Nasuha Aziz, 21, berkata, kehadirannya tahun ini bagi mendapatkan beberapa naskhah terbitan syarikat kegemarannya yang telah lama diidamkan.
Katanya, potongan harga sehingga 50 peratus yang ditawarkan cukup mengujakan, apatah lagi dengan peluang bertemu penerbit dan penulis dalam suasana ilmiah yang menggalakkan minat membaca. – UTUSAN