Kepala kereta api atau dandang kapal wap? - Utusan Malaysia

Kepala kereta api atau dandang kapal wap?

PEMANDU bot sewa, Rozy Mat Akhir menunjukkan objek besi yang terdapat di Sungai Perak di Teluk Intan, Perak. - MINGGUAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Satu objek besi di dasar Sungai Perak di sini, terus menjadi misteri dan menimbulkan perdebatan orang ramai.

Ada yang mendakwa ia merupakan kepala kereta api dan ada juga yang mengatakan objek itu ialah dandang (boiler) enjin sebuah kapal wap yang karam.

Objek tersebut didakwa sudah tertanam di dasar Sungai Perak lebih 100 tahun dan hanya sebahagian kecil sahaja akan timbul ketika air surut, khususnya pada musim panas.

Sebuah persatuan sejarah dikenali Team Orang Perak percaya ia merupakan dandang enjin kapal wap yang karam.

Jurucakap persatuan, Iskandar Zulqarnain Zaheruddin berkata, mereka percaya berlaku pelanggaran kapal wap pada 1896 yang menyebabkan dandang itu tertanam di dasar sungai.

“Ada yang kata objek besi tersebut kepala kereta api, namun kami percaya ia adalah dandang enjin kapal wap. Ciri-ciri dan saiz objek itu menampakkan lebih cenderung kepada dandang enjin kapal wap,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Iskandar Zulqarnain berharap, pihak berwajib berusaha mengenal pasti objek itu kerana ia sudah menjadi sebahagian sejarah Teluk Intan.

Katanya, jika boleh objek tersebut perlu dibawa keluar dari dasar sungai dan di letakkan di tempat yang boleh dilihat oleh orang ramai.

“Memang tidak mudah untuk objek ini dibawa atau dinaikkan ke darat kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

“Namun, ini adalah objek yang bukan sahaja misteri tetapi juga bersejarah. Ia boleh dijadikan tarikan pelancong,” kata­nya.

Bagi nelayan, Sayed Azman Sayed Abu Bakar, 55, penduduk sekitar percaya objek tersebut ialah kepala kereta api yang lengkap dengan enjin.

Menurutnya, objek itu ha­nya boleh dilihat beberapa kali dalam tempoh setahun kerana perlu menunggu air sungai be­tul-betul surut.

Katanya, penduduk memang mengetahui mengenai objek itu, namun perdebatan masih berlaku mengenai kesahihan sama ada ia kepala kereta api atau dandang enjin kapal wap. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×