Enam bulan tuai 80 varieti buah tin

Enam bulan tuai 80 varieti buah tin

SYARIFAH Damia Hazirah (dua kiri) bersama adik-adiknya menunjukkan buah tin dipetik di ladang mereka di Kampung Bukit Kandis, Kuala Nerus, Terengganu. – UTUSAN / ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Sebuah ladang buah tin di Kampung Bukit Kandis mencatatkan tuaian pertama pada 8 Januari lalu, dengan pengeluaran lebih 80 varieti buah berkenaan.

Ladang berkonsepkan rumah hijau ini diusahakan oleh Syarifah Damia Hazirah Syed Abu Bakar, 21, bersama keluarganya, yang kini memiliki kira-kira 300 pokok tin berbuah serta 350 anak pokok pelbagai varieti untuk tujuan jualan.

Menurut Syarifah Damia, ladang tersebut dibangunkan sepenuhnya oleh adiknya, Syed Danish Husaini, 19, dengan bimbingan bapanya yang berpengalaman dalam penanaman buah tin.

“Kami enam beradik memang minat berkebun sejak kecil dan sering membantu ayah. Idea untuk mengusahakan ladang secara lebih serius tercetus sejak awal tahun lalu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau, yang juga penuntut tahun kedua Ijazah Perubatan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), menjelaskan pembangunan ladang bermula pada 2023 dengan keluasan kira-kira 1,000 meter persegi. Penanaman aktif dimulakan pada Mei tahun lalu, dengan kos keseluruhan mencecah RM180,000, merangkumi penyediaan benih, sistem pengairan, topsoil, sekam bakar kasar dan halus, sekam mentah, tanah merah bakar serta penggunaan baja organik.

Pokok tin mula berbuah sebulan selepas ditanam secara aktif pada Ogos 2025, dengan tempoh tiga bulan berikutnya untuk menghasilkan buah matang sepenuhnya.

Hasil tuaian pertama melibatkan lebih 80 varieti dengan pelbagai warna seperti merah, hitam, hijau, kuning dan perang, yang masing-masing mempunyai rasa, tekstur dan warna isi berbeza.

“Buah tin merah biasanya lebih besar dan lebat dengan harga RM60 hingga RM100 sekilogram, manakala buah tin hitam paling mendapat permintaan dengan harga RM80 hingga RM100 sekilogram,” katanya. Antara varieti paling digemari termasuk Rasberry Latte, Strawberry Latte, Kafe To Jiate, Conadria De France dan Constantine Algeria.

Syarifah Damia menekankan keistimewaan tanaman buah tin yang hanya perlu ditanam sekali dan mampu berbuah berterusan, selain pokoknya boleh mencapai ketinggian sehingga 15 kaki. Buah tin boleh di­makan segar atau diproses menjadi jus, jem dan ais krim, manakala daun tin boleh dijadikan teh herba.

Ladang ini turut menawarkan pengalaman agro pelancongan dengan membenarkan pengunjung memetik buah sendiri.

“Kami galakkan pengunjung membuat tempahan awal ke­rana bimbang stok buah tidak mencukupi. Setakat ini, sambutan amat menggalakkan, bukan sahaja dari penduduk tempatan tetapi juga pengunjung dari luar kawasan,” katanya.

Inisiatif ini membuka peluang perniagaan dan pelancongan agro, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda dalam mengusahakan tanaman eksotik secara moden dan terancang, sambil mengekalkan minat berkebun diwarisi sejak kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×