Gugur keahlian tiga ADUN tindakan gopoh – Hashim - Utusan Malaysia

Gugur keahlian tiga ADUN tindakan gopoh – Hashim

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin menegur hukuman menggugurkan keahlian tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas di negeri ini yang disifatkan tergesa-gesa dan tidak merujuk Majlis Syura Ulama.

Hashim berkata, sebarang tindakan perlu mencontohi hikmah serta pendekatan tarbiah yang ditunjukkan oleh Rasulullah dalam mengadili sesuatu kesalahan.

Beliau berkata, Majlis Syu­ra Ulama akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan secara terperinci rayuan berhubung status keahlian dikemukakan oleh tiga bekas wakil rakyat terlibat.

Katanya, isu tersebut sebelum ini telah dibawa sepintas lalu dalam sesi sebelum ini dan mesyuarat akan datang bakal membincangkan dengan lebih mendalam serta menentukan keputusan.

“Saya ingin memberi anologi satu kisah mengenai seorang wanita yang mengaku berzina dan meminta dihukum oleh Rasulullah, namun baginda menangguhkan hukuman ter­sebut beberapa kali demi menjaga kebajikan kandungan dan anak yang bakal lahir itu. Apa maknanya, di dalam Islam ada pertimbangan.

“Bertitik tolak daripada sirah itu, saya menyarankan agar pimpinan mengambil iktibar dengan tidak memuktamadkan hukuman sehingga menutup terus ruang untuk ahli bertaubat atau membetulkan kesilapan, terutama apabila melibatkan mereka yang mempunyai tanggungan.

“Kita tidak bantah hukuman yang dijatuhkan oleh Jawatankuasa Pas Pusat, tapi cara hukuman tersebut dijatuhkan dilihat tergopoh-gopoh, tidak ikut Nabi.

“Apabila mereka (bekas ADUN Pas) mengemukakan rayuan, kita akan bincang dengan lebih mendalam perkara ini dalam Mesyuarat Syura akan datang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Baru-baru ini, tiga bekas ADUN terlibat berharap untuk diterima semula sebagai ahli parti itu.

Mohd. Ridzuan Hashim (Guar Sanji), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Saad Seman (Chuping) telah mengemukakan rayuan rasmi berhubung status keahlian mereka dalam Pas kepada Majlis Syura Ulama, yang dibuat berlandaskan peruntukan sah dalam Perlembagaan Pas.

Pada 25 Disember lalu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, Rus’sele Eizan mengumumkan kekosongan luar jangka di kerusi DUN Chuping, Bintong dan Guar Sanji selepas ADUN tersebut terhenti keahlian Pas, susulan tindakan mereka bersama lima ADUN Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap Mohd. Shukri Ramli selaku Menteri Besar ketika itu.

Kekosongan luar jangka adalah kekal berkuat kuasa seada­nya sebagai mana surat bertarikh 29 Disember 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN