PORT DICKSON: Kehadiran pemandu prebet sapu dipercayai warga asing yang menawarkan perkhidmatan pengangkutan secara haram di sekitar jeti Port Dickson semakin berleluasa dan menekan pendapatan pemandu teksi berlesen tempatan.
Pemandu teksi, Rahimi Said, 58, berkata aktiviti itu berlaku hampir setiap hari terutama ketika ketibaan feri yang membawa ratusan penumpang, sekali gus menyebabkan pelanggan disambar lebih awal oleh pemandu tidak berlesen berkenaan.
Menurutnya, pemandu prebet sapu lazimnya menunggu di pintu pagar jeti dan menawarkan tambang sehingga 30 peratus lebih mahal berbanding kadar teksi berlesen, namun tetap mendapat sambutan kerana mendekati penumpang terlebih dahulu.
“Apabila feri tiba, pelanggan terus dibawa pergi. Kami hanya mampu menunggu. Ada hari langsung tiada penumpang, ada hari cuma dapat RM10 atau RM20,” katanya ketika ditemui di Perhentian Teksi Port Dickson, semalam.
Rahimi berkata, sebelum pandemik Covid-19, pendapatannya boleh mencecah RM1,100 sebulan, namun kini tidak mencukupi untuk menampung kos minyak dan perbelanjaan harian.
Setiausaha Persatuan Kebajikan Tuanpunya dan Pemandu-Pemandu Teksi/Kereta Sewa Daerah Port Dickson, Mohd. Asraf Kaliner berkata, isu tersebut turut membabitkan aspek keselamatan penumpang.
Pemandu teksi berlesen dilindungi insurans serta tertakluk kepada peraturan dan pemantauan pihak berkuasa, selain tambang yang ditetapkan pada kadar munasabah bagi mengelakkan caj berlebihan.
Beliau berharap tindakan lebih tegas diambil bagi melindungi kebajikan pemandu tempatan dan keselamatan pengguna.
Pengerusinya, Mustapah Abdullah berkata, perbincangan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Datuk Dr. G. Rajasekaran diadakan bagi menyediakan tapak khas untuk teksi tempatan berhampiran jeti dengan teksi tempatan diberikan pelekat khusus memudahkan penumpang mengenal pasti teksi tempatan dan mengelakkan kekeliruan dengan teksi luar dan prebet sapu. – UTUSAN










