PETALING JAYA: Peningkatan bil rawatan pesakit susulan pelaksanaan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) disebabkan caj berasingan yang terpaksa dilakukan klinik swasta berbanding sistem caj pukal sebelum ini.
Presiden Persekutuan Persatuan Doktor Perubatan Swasta Malaysia (FPMPAM), Dr. Shanmuganathan T. V. Ganeson berkata, sebelum ini klinik swasta sememangnya sudah lama mengamalkan bil terperinci kepada pesakit.
Katanya, bil terperinci secara pukal tidak mengakibatkan kenaikan kos secara automatik.
“(Bagaimanapun) apa yang dibangkitkan oleh FPMPAM adalah kesan daripada keperluan baharu untuk memaparkan harga ubat secara berasingan seperti yang ditetapkan dalam Perintah Penandaan Harga Ubat di bawah Akta 723.
“Apabila harga ubat dipisahkan secara wajib, klinik tidak lagi dapat menyerap kos perkhidmatan lain ke dalam harga ubat seperti dilakukan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, disebabkan pelaksanaan akta itu, klinik perlu menyenaraikan secara berasingan caj seperti konsultasi, kejururawatan, penggunaan alat, bahan guna habis dan sokongan pentadbiran.
Katanya, semua kos tersebut sebelum ini telah diserap ke dalam satu caj pukal yang lebih murah.
“Kenaikan bil yang dijangka antara RM10 hingga RM30 itu bukan disebabkan oleh itemisasi semata-mata, tetapi kerana sistem unbundling (berasingan) yang terpaksa dilaksanakan apabila harga ubat tidak lagi boleh digunakan untuk menyerap kos operasi.
“Ini adalah kesan langsung daripada polisi paparan harga ubat yang terlalu kaku,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, FPMPAM menjangkakan bil pesakit di klinik swasta dijangka meningkat antara 10 hingga 30 peratus mulai Ogos depan susulan pelaksanaan Akta 723 yang menetapkan paparan harga ubat yang disediakan di klinik dan hospital swasta serta farmasi.
Dr. Shanmuganathan berkata, walaupun pelaksanaan Akta 723 dibantah oleh klinik swasta, namun kebanyakkan fasiliti kesihatan itu telahpun memaparkan harga ubat di premis masing-masing setelah arahan tersebut digazetkan pada 1 Mei lalu.
Katanya, buat masa ini harga ubat di klinik swasta masih kekal pada kadar lama kerana semua pihak masih menunggu keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam isu tersebut.
“Jika tiada perubatan keputusan daripada KKM dan arahan ini diteruskan selepas tempoh penangguhan (grace period), FPMPAM jangka peningkatan kos akan mula dirasai pesakit seawall Ogos depan,” katanya.-UTUSAN










